Thursday, August 27, 2015

INDIA - Peratus Muslim Bertambah Melebihi Hindu

NEW DELHI: Populasi penganut Hindu di India sudah turun ke bawah 80 peratus untuk kali pertama sejak kemerdekaan manakala warga Islam semakin meningkat.

Dengan pengumuman data terkini itu, kalangan media negara itu mengandaikan kerajaan mungkin sengaja menangguhkan pengumuman data itu sebelum ini kerana ia jelas menunjukkan peningkatan bilangan orang Islam.

Kalangan Ahli Parlimen parti memerintah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, sebelum ini sudah beberapa kali menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan umat Islam di India.

Bancian terkini menunjukkan penganut Hindu menurun kepada 79.8 peratus daripada keseluruhan populasi negara itu berjumlah 1.2 bilion pada 2011, daripada 80.5 peratus sedekad sebelumnya.

Bilangan warga negara beragama Islam di India meningkat kepada 14.2 peratus daripada sebelumnya 13.4 peratus pada 2001. Ia antara peningkatan terbesar dalam kalangan kumpulan agama yang menunjukkan kenaikan ketara. Penganut kristian kekal pada 2.3 peratus dan Sikh jatuh kepada 1.7 peratus daripada 1.9 peratus.

Sakshi Maharaj, seorang sami Hindu yang bertukar profesion menjadi ahli politik, mencetuskan kekecohan awal tahun ini apabila mengatakan wanita Hindu perlu melahirkan sekurang-kurangnya empat anak untuk memastikan agama mereka terus kekal.

Dalam bancian pertama yang dilaksanakan selepas Britain memisahkan India dan Pakistan pada 1947, penganut Hindu berjumlah 84.1 peratus daripada keseluruhan populasi India. Walaupun perkembangan populasi agak perlahan dalam semua kumpulan agama, India masih dianggap mampu mengatasi China untuk menjadi negara yang paling ramai penduduk menjelang 2022 seperti yang diunjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Reuters sumber

No comments: