Tuesday, August 11, 2015

IRAQ - 3 Serangan Bom, 33 Terkorban

BAQUBA (Iraq): Tiga letupan, dua daripadanya membabitkan bom kereta yang dilakukan kumpulan Negara Islam (IS), menyebabkan sekurang-kurangnya 33 terbunuh di Wilayah Diyala, demikian menurut polis. Serangan bom mensasarkan kawasan Syiah dan ia serangan kedua selepas kurang sebulan serangan nekad yang mengorbankan 120 orang di Khan Bani Saad, juga di wilayah timur Diyala.

 Kejadian semalam dilaporkan di kawasan Huwaydir dan menurut sumber perubatan dan pihak keselamatan di Hospital Baquba, sekurang-kurangnya 20 orang maut di tempat kejadian manakala 45 lagi cedera. "Pengebom berani mati memandu sebuah kenderaan membawa periuk api yang kemudiannya meletupkan dirinya di tengah kawasan pasar di Huwaydir," kata seorang Lefternan Kolonel polis.

Seorang lagi pengebom nekad memandu kenderaan dan merempuh satu pusat pemeriksaan keselamatan sebelum meletupkan dirinya di Daerah Kanaan dengan sekurang-kurangnya 10 maut manakala 10 lagi cedera. Kumpulan IS kemudian mengaku bertanggungjawab dalam dua serangan bom nekad itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman media sosial.

Di Kanaan, IS berkata serangan itu mensasarkan satu masyarakat Syiah yang sedang berkumpul dengan pasukan tentera dan militannya dan serangan sama berlaku di Huwaydir. Satu letupan juga menggegarkan satu kawasan kejiranan antara Baquba dan Huwaydir, yang mengorbankan tiga orang manakala empat lagi cedera.

Sejak letupan bom pada 17 Julai lalu di Khan Bani Saad, pihak berkuasa mengetatkan kawalan terutama menyeberangi wilayah berkenaan terutama di sempadan Baquba, kira-kira 70 kilometer di utara Baghdad. Letupan sama di Khan Bani Saad pada penghujung Ramadan lalu yang mengejutkan seluruh Iraq. - AFP  sumber

No comments: