Friday, August 21, 2015

Klip Video Menari di Siling Tersebar Luas



LONDON 20 Ogos – Dua pakar sukan ekstrem berjaya mewujudkan ilusi optik luar biasa dengan menunjukkan mereka seolah-olah sedang menari di atas siling rumah menerusi satu video yang kini mula tersebar secara meluas di internet.

Menerusi video, Jason Paul dan rakannya, Pavel Petkuns bukan sahaja menari di atas siling, malah mereka turut dapat membesar dan mengecilkan badan masing-masing, dalam satu babak yang diulang-ulang dalam klip tersebut. Kemampuan Paul dan Petkuns dalam video itu membuatkan ramai orang tertanya-tanya tentang di manakah bahagian atas dan bawah rumah serta fungsi graviti yang sepatutnya menjadikan mereka terjatuh apabila berada di atas siling.

 Portal Mirror.co.uk melaporkan, Paul dan Petkuns menggunakan kemahiran gimnastik mereka yang digabungkan dengan penetapan waktu yang baik serta penyuntingan yang hebat dalam menghasilkan video itu yang mengelirukan orang ramai. Menurut syarikat Red Bull yang memaparkan video itu, bagi menghasilkan klip video Running Illusions, beberapa faktor perlu diambil kira. “Anda perlu hebat dalam larian bebas, mendekati setiap apa yang anda lakukan dari sudut pandangan gimnastik dengan penetapan masa yang baik dan kedudukan yang sempurna serta mempunyai imaginasi untuk melihat bagaimana setiap gambar, teknik dan aksi lagak ngeri berfungsi.

“Jason Paul dan Pavel Petkuns banyak memilik faktor-faktor itu,’’ kata Red Bull dalam kenyataannya. Klip diberi nama Running Illusions itu kini ditonton lebih 192,000 orang dan terus tersebar secara meluas. - sumber

No comments: