Tuesday, August 11, 2015

MESIR - Suhu Panas, 24 Maut

Suhu panas melampau di Mesir sehingga mencecah 47 darjah Celcius

KAHERAH 10 Ogos – Seramai 24 orang maut, sementara 66 yang lain terpaksa dimasukkan ke hospital berikutan cuaca panas melampau di Kaherah dan beberapa tempat lain di Mesir. Semua mangsa yang meninggal dunia dipercayai mengalami kekejangan haba ketika suhu di negara ini mencecah 47 darjah Celcius.

Seramai 15 orang maut di Kaherah, empat di Qalibiya dan dua lagi di wilayah Qena termasuk tujuh wanita yang berumur 60 ke atas. Jurucakap Kementerian Kesihatan, Hossam Abdel Ghaffar berkata, 37 orang daripada 60 yang terlantar di hospital masih dalam keadaan kritikal akibat keletihan melampau berikutan cuaca panas itu.

“Suhu pada tahun ini naik mendadak berbanding tahun-tahun sudah, namun apa yang lebih membimbangkan ialah tahap kelembapan yang memberi kesan kepada orang ramai. “Pendedahan kepada cuaca panas melampau itu yang membawa maut,” katanya.

Ketua Analisis Jabatan Meteorologi Mesir, Waheed Soudi juga mengesahkan bahawa suhu di ibu negara dan beberapa kawasan adalah lebih tinggi daripada yang sebelum ini. “Suhu kali ini jauh lebih tinggi dengan peningkatan antara empat hingga lima darjah Celcius daripada apa yang biasanya dilihat, malah tahap kelembapan juga sangat tinggi pada bulan ini,” katanya. – AFP sumber

No comments: