Tuesday, August 4, 2015

Pesawat Pejuang SYRIA Terhempas, 23 Maut

Gambar dikeluarkan kumpulan aktivis antikerajaan Syria, Ariha

BEIRUT 3 Ogos – Sebuah pesawat pejuang Syria terhempas semasa menyertai operasi melancarkan serangan ke atas kedudukan pemberontak di barat laut bandar Ariha, hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh. Pasukan Pemerhati Hak Asasi bagi Syria berkata, masih tidak jelas berapa ramai yang terkorban dalam nahas itu dan berapa ramai yang terkorban dalam pengeboman tersebut.

“Pesawat itu terbang rendah apabila tiba-tiba menghadapi kerosakan,” kata ketua pasukan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman. “Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak,” kata Rami memetik pegawai perubatan dan penduduk.

Katanya, sebanyak 70 orang turut cedera dalam serangan itu. “Enam orang dilaporkan terperangkap dalam runtuhan, dan keadaan mereka masih tidak diketahui,” katanya.

Menurut penduduk, pesawat itu terhempas dekat sebuah pasar, menyebabkan berlaku letupan kuat. Pasukan pemerhati itu berkata, nasib juruterbang juga tidak diketahui. Tentera Syria melancarkan serangan udara bagi melumpuhkan ke­dudukan penentang di bandar-bandar yang mereka kuasai sejak konflik meletus di negara itu empat tahun lalu.

Pada pertengahan Januari lalu, sekurang-kurangnya 35 askar kerajaan terbunuh apabila sebuah pesawat tentera terhempas di wilayah Idlib. Wilayah itu dikuasai pakatan pemberontak termasuk sekutu al-Qaeda, Barisan Al-Nusra yang menawan Ariha pada 28 Mei lalu. – AFP - sumber

No comments: