Friday, September 4, 2015

Bangkai 'Makhluk Asing" di RUSIA

Bangkai dipercayai makhluk asing yang ditemukan di Sungai Kovashi

MOSCOW 3 Sept. – Penemuan rangka spesies yang tidak dikenali di tebing sungai berdekatan sebuah loji nuklear utama di Rusia mencetuskan tanda tanya dalam kalangan saintis tentang dakwaan, itu adalah bangkai makhluk asing. Menurut laporan portal Express, bangkai makhluk tersebut ditemukan oleh dua penduduk dekat Sungai Kovashi pada Ahad lalu di Sosnovy Bor, sebuah pekan yang dibina pada 1958 untuk menempatkan Loji Kuasa Nuklear Leningrad.

Akhbar tempatan pada awalnya mendakwa bangkai itu mungkin merupakan embrio ayam yang dibuang, tetapi saintis Rusia enggan mengesahkan perkara tersebut. Seorang saintis tempatan yang enggan dikenali berkata, badan makhluk tersebut kelihatan seperti ikan atau ayam, tetapi tengkorak bangkai berkenaan mencetuskan misteri kerana tidak mempunyai leher atau kepak. Malah pakar dari Institut Biofizik di Krasnoyarsk, Yegor Zadereev berkata, pihaknya sukar menjelaskan spesies sebenar makhluk yang ditemukan itu.

“Kajian lebih mendalam perlu dilaksanakan bagi mengetahui spesies sebenar bangkai makhluk tersebut,” katanya. Rangka spesies yang tidak dikenali itu dipercayai telah dihantar ke Moscow untuk dikaji oleh saintis. Sementara itu, beberapa penyiasat makhluk asing percaya bangkai itu merupakan spesies lain dari angkasa lepas. Scott C. yang merupakan pemilik portal UFO Sighting Daily berkata, bangkai yang ditemukan di Rusia merupakan makhluk asing dan tidak mempunyai persamaan dengan haiwan di bumi. “Saintis Rusia keliru dengan penemuan tersebut dan mereka dijangka menjalankan ujian Asid Deoksiribonukliek (DNA) untuk menjawab misteri itu,” katanya. - sumber

No comments: