Monday, September 28, 2015

Duta CHINA Digesa Minta Maaf kepada MALAYSIA

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang digesa meminta maaf atas kebiadaban mencampuri urusan domestik negara ini. Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Hasan Basri Muhammad berkata, beliau sepatutnya memahami bidang tugas sebagai duta dan tidak mencampuri urusan domestik dalam sebuah negara berdaulat sebagaimana negara lain yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal negara itu. Katanya, adalah lebih baik Huikang memberi tumpuan tentang masalah lambakan warga China di Malaysia dalam industri pelacuran, rumah urut serta perjudian haram yang banyak menyumbang kepada masalah gejala sosial dalam negara ini.

“Negara-negara lain tidak pernah mencampuri urusan domestik negara itu khususnya yang sangat menggores hati umat Islam dengan tindakan diskriminasi melampau terhadap etnik Uighur sehingga diharamkan umat Islam di sana melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan. “Oleh itu, kami menyokong dan meminta ketegasan Wisma Putra untuk memberi amaran keras kepada Duta China itu supaya menjaga tingkah laku dan tahu batas polisi sebuah negara berdaulat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Huikang ketika dalam sidang akhbar sejurus mengadakan lawatan ke Jalan Petaling semalam berkata, kerajaan China menentang pihak yang cuba mewujudkan segala bentuk keganasan yang bertujuan mengganggu ketenteraman awam. Ujar beliau, pihak­nya turut menentang diskriminasi yang menyasarkan satu kaum tertentu di Jalan Petaling sekali gus memberi amaran bahawa Beijing berani dan tidak takut untuk menyuarakan pandangan terhadap insiden yang boleh menjejaskan kepentingan para peniaga di Jalan Petaling serta hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, kebiadaban Huikang yang membuat kenyataan sedemikian jelas memperlihatkan seolah-olah kerajaan menindas dan tidak berlaku adil terhadap rakyat Malaysia berketurunan Cina. Sedangkan katanya, kaum itu paling beruntung malah diberi jaminan hak bersama dalam sebuah masyarakat majmuk seperti pendidikan, politik, sosial, ekonomi, kesihatan dan sebagainya. “Sebagai contoh dalam penguasaan ekonomi dibuktikan bahawa jumlah majoriti jutawan di Malaysia dikuasai oleh kaum Cina.

 “Perkasa amat kesal dan menentang keras tindakan Huikang itu yang mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara ini,” katanya. Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan tindakan Huikang itu sebagai kesalahan di peringkat diplomasi. “Duta asing tidak perlu campur tangan hal ehwal negara orang. Saya berharap pihak Wisma Putra mendesak kerajaan China supaya mengambil tindakan terhadap duta mereka ini sama ada dalam bentuk permohonan maaf atau tarik semula kenyataan beliau.

“Atau gantikan sahaja dengan duta lain yang lebih memahami peranan duta asing di mana-mana negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis korban Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) daerah Kampung Gajah di Sungai Jejawi, Pasir Salak. sumber

No comments: