Friday, September 11, 2015

Eropah Kecam Arab Isu Pelarian

Sebahagian pelarian menanti giliran untuk menyeberangi sempadan
 
BEIRUT 10 Sept. – Pengkritik mempersoalkan mengapa kerajaan Asia Barat tidak menghulurkan lebih banyak bantuan bagi membantu empat juta pelarian Syria yang merupakan sebahagian besar pelarian ke Eropah. Majalah Time melaporkan, terdapat bukti pelarian yang ke Eropah bukan sahaja melarikan diri daripada peperangan di Syria, tetapi juga penindasan oleh negara Asia Barat lain. Kebanyakan kemarahan difokuskan kepada negara-negara kaya di Teluk Parsi.

Menurut laporan Amnesty International, enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk tidak menawarkan slot penempatan se­mula secara rasmi kepada pela­rian Syria sejak akhir tahun lepas. Kumpulan hak asasi itu menyatakan, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai kekayaan hasil sumber minyak, gas, dan kewangan, secara berkumpulan mempunyai lebih banyak sumber daripada dua negara Arab yang mengambil pela­rian Syria iaitu Jordan dan Lebanon.

Negara-negara Teluk yang berturut bahasa Arab, mempunyai sejarah rapat dengan Syria dan terlibat dalam krisis ketika ini apabila menawarkan sokongan kepada kumpulan pemberontak. “Kaitan yang hilang dalam drama tragik ini adalah peranan negara-negara Arab terutama negara-negara Teluk. “Negara-negara ini melabur banyak wang, menyokong parti politik, menaja senjata dan pelbagai perkara lagi dalam konflik 
Syria,’’ kata seorang pakar hak asasi manusia, Fadi al-Qadi.

Sebagai reaksi kepada dakwaan itu, UAE dan Arab Saudi menjelaskan, pihaknya turut membantu mengambil pelarian Syria sejak 2011, sekali gus menafikan dakwaan Amnersty International. Seorang pegawai kerajaan UAE yang enggan dikenali berkata, jumlah pelarian Syria yang tinggal di negara itu kini mencecah 250,000 orang sejak perang meletus di negara terbabit. Jelasnya, sejak 2011, UAE telah menerima lebih 250,000 pelarian Syria dan sebahagian besar daripadanya telah diberi permit sebagai penduduk.

“Kerajaan UAE turut menyalurkan bantuan lebih AS$530 juta (RM2.2 bilion) dan bantuan tambahan sebanyak AS$100 juta (RM421 juta) pada Januari lalu bagi menampung kos program di bawah misi kemanusiaan membantu pelarian Syria. “Bantuan disalurkan kepada kem pelarian Mrajeeb Al-Fhood dekat Zarqa di Jordan yang me­nempatkan lebih 4,000 pelarian, manakala lebih AS$72 juta (RM303 juta) disumbangkan kepada kem pelarian Syria di Jordan, Lebanon, Iraq dan Turki sejak dua tahun lalu,” katanya. – REUTERS  sumber

No comments: