Wednesday, September 30, 2015

INDONESIA Akan Dakwa 40 Individu

Badrodin Hai ti

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kerajaan Indonesia akan mendakwa 40 individu dipercayai terbabit dengan pembakaran terbuka yang mengakibatkan jerebu di beberapa negara di Asia Tenggara. Ketua Polis Indonesia, Jeneral Badrodin Haiti berkata, individu tersebut akan didakwa di mahkamah Sumatera dan Kalimantan dalam masa terdekat. Katanya, mereka bakal didakwa mengikut Undang-Undang Lingkungan Hidup dan Perhutanan.

 “Selain itu, kerajaan juga berjaya mengesan kira-kira 210 kes kebakaran hutan secara terbuka yang melibatkan individu dan syarikat korporat tempatan serta luar negara. “Malah, siasatan masih diteruskan untuk mengesan dalang di sebalik kegiatan pembakaran terbuka itu,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-10 di sini hari ini. Perasmian mesyuarat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Mengulas lanjut, Badrodin berkata, isu pembakaran secara terbuka tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat AMMTC Ke-10 kerana disifatkan sebagai bukan jenayah rentas sempadan. Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan saman Singapura ke atas Indonesia, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang notis berkenaan. Katanya, perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Indonesia dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh untuk menangani masalah tersebut secara efektif.

 “Kami sedang siasat beberapa syarikat asing kerana kebiasaannya mereka akan menggunakan nama rakyat Indonesia untuk menjalankan perniagaan. Jadi kami mahu mengenal pasti pemilik sebenar syarikat terlibat,” katanya. Sementara itu, dalam perkara berasingan, Badrodin berkata, kerajaan Indonesia turut memberi tumpuan mengenai ancaman jenayah maritim dalam mesyuarat tersebut. Katanya, perkara berkenaan antaranya melibatkan isu keganasan, perubahan iklim dan aktiviti menangkap ikan secara haram yang tidak dilaporkan serta tidak mengikut peraturan (IUU) di perairan rantau ASEAN.

 “Justeru, kami berharap kerjasama dengan negara anggota lain dalam sektor ini akan dipertingkatkan terutamanya Malaysia, Filipina dan Thailand,” katanya.  sumber

No comments: