Wednesday, September 2, 2015

IS Bunuh 112 Orang Askarnya Sendiri

Gambar fail menunjukkan kumpulan IS di sebuah lokasi yang tidak

BAGHDAD 1 Sept. – Militan Negara Islam (IS) dilapor membunuh sebanyak 112 anggota mereka sendiri di wilayah Nineveh, utara Iraq selepas mendakwa kumpulan itu merancang untuk membunuh pemimpinnya, Abu Bakr al-Baghdadi. Jurucakap bagi Parti Demokratik Kurdistan (KDP) di Mosul, Saeed Mamouzini memberitahu rangkaian televisyen satelit Al-Sumaria, militan IS membunuh rakan mereka yang merupakan serpihan kumpulan itu di bandar tersebut yang terletak kira-kira 400 kilometer di utara Baghdad.

 Katanya dalam laporan yang dipetik portal PressTV, sebanyak 18 orang daripada anggota yang dibunuh itu merupakan komander tertinggi IS yang ditembak mati oleh skuad penembak di sebuah penjara di selatan Mosul. Anggota militan yang dibunuh itu dilapor merancang untuk membunuh Gabenor Mosul yang melantik dirinya sendiri ke jawatan itu, Abu Abdul Majid Afar yang menguasai wilayah Nineveh.

 Semua 112 anggota itu berpecah dari IS dan mengisytiharkan perang terhadap militan tersebut yang kini berpusat di bandar Raqqa, utara Syria. Perkembangan itu berlaku pada hari yang sama ketika militan IS menahan puluhan penduduk Mosul bagi memastikan ahli keluarga mereka yang kini menunaikan haji di Arab Saudi kembali ke Iraq. Keganasan mengerikan berlaku di beberapa bahagian di utara dan barat Iraq sejak IS melancarkan serangan di negara ini pada Jun tahun lalu dan menguasai sebahagian besar wilayah Iraq.

 IS melakukan pelbagai jenis jenayah yang menjadikan semua pihak sebagai sasaran termasuk Syiah, Sunnah, Kurdis, Kristian, dan sebagainya. Tentera Iraq dan kumpulan militia kini sedang cuba menawan kembali kawasan yang dikuasai militan IS dalam operasi secara bersama. -   sumber

No comments: