Monday, September 28, 2015

Israel Mesti Dihukum



NEW YORK 27 Sept. – Israel tidak boleh dibiarkan bebas tanpa hukuman berhubung tindakannya berterusan melakukan serangan dan pencerobohan di Al-Quds Al-Sharif, termasuk serangan baru-baru ini ke atas Masjid Al-Aqsa yang menyedihkan rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia. Anifah Aman Menegaskan tindakan pelanggaran hak secara provokatif dan terang-terangan oleh Israel itu langsung tidak boleh diterima, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tindakan itu jelas melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Namun, pihak Israel terus me­lakukannya dan bebas daripada hukuman. Kita tidak boleh membiarkan ini berterusan tanpa sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya. Anifah berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Malaysia pada mesyuarat kedua Kumpulan Hubungan mengenai Mempertahankan Perjuangan Palestin dan Al-Quds Al-Sharif, Peringkat Menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini hari ini. Malaysia, katanya mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan oleh Israel ke atas masjid itu dan serangan terhadap umat Islam.

 “Adalah jelas bahawa tindakan tidak bertanggungjawab Israel itu merupakan kesinambungan daripada strategi jangka panjang mereka untuk memisahkan Masjid Al-Aqsa kepada bahagian dan waktu. “Ia juga merupakan cubaan untuk mengubah ciri-ciri Islam Arab dan struktur demografi Al-Quds Al-Sharif,” kata Anifah. Menteri Luar berkata, provokasi serius seumpama itu berpotensi mencetuskan keganasan sehingga di luar kawasan Baitulmaqdis berikutan ketegangan akibat isu-isu keselamatan lain kian memuncak. Beliau menegaskan, masyarakat antarabangsa perlu tahu impak serius daripada serangan dan pencerobohan berterusan oleh Israel ke atas Al-Quds Al-Sharif. “Mereka perlu sedar bahawa tindakan yang dilakukan oleh rejim Israel itu boleh mencetuskan lebih banyak keganasan dan berpotensi menjadi konflik agama.

 “Ini tidak disangsikan boleh mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa,” kata Anifah. Dipengerusikan Maghribi, anggota Kumpulan Hubungan terdiri daripada Palestin, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Guinea, Malaysia, Turki, Azerbaijan dan Setiausaha Agung OIC, dengan penyertaan Qatar.

Selepas berakhirnya mesyuarat itu yang diadakan di luar Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, menteri-menteri berkenaan mengeluarkan kenya­taan mengutuk pencabulan secara berterusan, sistematik dan berskala besar oleh Israel ke atas wilayah Palestin. Mereka menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, agar melaksanakan tanggungjawab untuk campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang menceroboh Al-Quds Al-Sharif. 
– BERNAMA  sumber

No comments: