Wednesday, September 30, 2015

Jerebu IPU 1,800 di Kalimantan

JAKARTA 29 Sept. - Keadaan jerebu di Indonesia hari ini bertambah buruk apabila mencecah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 1,800 di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, tertinggi di negara ini setakat ini. Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia melaporkan, bacaan itu direkod pada pukul 5 petang ini waktu tempatan (4.55 petang waktu Malaysia) dan indeksnya dilaporkan terus meningkat.

Palangkaraya merupakan kawasan paling teruk dilanda jerebu di negara ini sejak beberapa hari lalu. Media tempatan melaporkan, jerebu yang teruk mengakibatkan aktiviti harian penduduk di Palangkaraya terganggu, dengan semua sekolah ditutup semalam selepas kerajaan mengeluarkan perintah darurat.

Di Riau, Agensi Kaji Cuaca dan Geofizik Pekanbaru menyatakan jerebu akan terus menyelubungi wilayah itu, berpotensi mengurangkan had penglihatan kepada kira-kira 100 meter. Agensi berita Antara melaporkan pengarah agensi tersebut, Sugarin berkata, angin kini dilihat bergerak ke arah Riau. “Angin yang melalui Riau, menyebabkan sukar untuk kita mengelak asap tebal dari Jambi dan Sumatera Selatan,’’ katanya. Beliau berkata, berdasarkan data agensi, kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) ini, asap tebal menyelubungi empat kawasan termasuk Dumai, Pelalawan, Pekanbaru, dan Rengat.

“Di Pekanbaru, jarak penglihatan berkurangan kepada 200 meter, manakala jarak penglihatan di Pelalawan dan Rengat di Indragiri Hulu adalah 100 meter. Had penglihatan lebih baik di Dumai, mence­cah 1,000 meter,’’ katanya. Berdasarkan data imej satelit Terra and Aqua, sebanyak 190 titik panas dikesan di sekitar Sumatera. Kebanyakan titik panas bertumpu di Sumatera Selatan dengan sebanyak 178 titik panas dikesan, Jambi (11), dan Bangka Belitung (1).

Dalam pada itu, kerajaan Indonesia mengerah sebanyak 21,000 kakitangan termasuk anggota polis dan tentera untuk memadam kebakaran di utara negara ini, yang mengakibatkan jerebu teruk di negara jiran terutama di Singapura dan Malaysia. Bernama pula melaporkan, kea­daan jerebu di Singapura bertambah buruk hari ini, mencecah tahap ‘amat tidak sihat, berikutan tiupan angin dari selatan-barat daya, membawa jerebu lebih tebal dari Sumatera ke negara itu. Setakat pukul 9 malam ini, IPU di republik itu mencatatkan bacaan 162 hingga 214 iaitu paras antara tidak sihat dan amat tidak sihat. -sumber

No comments: