Sunday, September 20, 2015

MESIR - Kabinet Terbaru Angkat sumpah

Perdana Menteri baharu Mesir, Sharif Ismail mengangkat sumpah

KAHERAH 19 Sept. – Kerajaan baharu Mesir mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Mesir, Abdel-Fattah El-Sisi, hari ini, seminggu selepas Kabinet Mesir meletakkan jawatan berikutan isu rasuah. Agensi berita Xinhua melaporkan, bekas Menteri Petroleum, Sharif Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang baharu. Barisan Kabinet baharu Mesir iu terdiri 15 menteri baharu, dengan menteri hal ehwal luar, pertahanan, dalam negeri, keadilan dan kewangan mengekalkan jawatan masing-masing.

Pada 12 September lalu, Abdel-Fattah menerima perletakan jawatan kabinet diketuai Perdana Menteri, Ibrahim Mehleb, selepas Menteri Pertanian, Salah Helal, ditangkap kerana rasuah. Ia merupakan rombakan terbesar pertama kabinet Mesir, sejak Abdel-Fattah memenangi pilihan raya Presiden pada tahun lepas, yang dijangka membawa muka baru dalam kerajaan.

Kabinet baharu itu kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Parlimen Mesir yang lama tertangguh, pada Oktober ini. Pilihan raya Parlimen, yang dijanjikan Abdel-Fattah akan diadakan akhir tahun ini, merupakan fasa ketiga dan terakhir pelan pembaharuan politik Mesir selain mengadakan pilihan raya Presiden dan melaksanakan perlembahaan baharu, dibuat selepas menyingkirkan Presiden Mohamed Mursi awal Julai, 2013. – BERNAMA  sumber

No comments: