Tuesday, September 8, 2015

Satu Kampung Boleh Berkungfu

BEIJING 7 Sept. - Semua penduduk di sebuah kampung di kawasan pergunungan Tianzhu, di tengah China dilapor mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri kung fu sehingga menarik perhatian masyarakat seluruh dunia.

Menariknya, penduduk Kampung Ganxi Dong yang dihuni etnik Dong, satu daripada 56 etnik minoriti di China, hanya bekerja sebagai petani dan menjauhkan diri daripada dunia luar demi memelihara tradisi tempatan itu. Selain bertani, setiap penduduk Kampung Ganxi Dong yang terdiri daripada 123 orang, mahir berkung fu dan boleh menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk kayu dan serampang, lapor portal Oddity Central.

Gambar-gambar ‘kampung kung fu’ itu yang mempunyai tanah yang subur serta beberapa pondok tradisional yang berlatar belakangkan hutan pergunungan tebal, dikongsi secara meluas di media sosial China sejak kebelakangan ini. Latar belakang yang indah itu menyediakan gelanggang yang sempurna buat penduduk kampung tanpa mengira peringkat umur untuk berlatih seni mempertahankan diri tersebut sama ada sendirian atau berlawan antara satu sama lain.

Cerita sebenar di sebalik tradisi Kampung Ganxi Dong masih tidak diketahui sehingga kini, namun penduduk tempatan mempunyai dua teori mengenainya dengan satu daripadanya, setiap belia yang kuat dipilih daripada setiap keluarga untuk belajar kung fu bagi menangani serangan binatang buas yang me­nyerang haiwan ternakan penduduk.

 Satu lagi teori pula mendakwa, penduduk kampung menjemput guru seni mempertahankan diri bagi mengajar mereka kemahiran itu setelah harta mereka dirampas jiran semasa pertama kali mendiami kampung berkenaan. -  sumber

No comments: