Wednesday, September 30, 2015

SAUDI Mahu Pendatang Haram Yahudi Dilabel Pengganas

GENEVA 29 Sept. – Arab Saudi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan kumpulan pendatang haram Yahudi yang menceroboh wilayah Palestin sebagai pertubuhan pengganas. Wakil Tetap ke PBB, Faisal Hassan Trad (gambar) dalam ucapannya di Majlis Hak Asasi Manusia berkata, Riyadh mengutuk keras penjajahan pasukan keselamatan Israel dan kumpulan pelampau Yahudi yang menyerbu dan mencemari Masjid al-Aqsa selain menghalang umat Islam memasuki kawasan tersebut.

Menurut portal Saudi Gazette, Faisal turut memberi amaran bahawa tindakan provokasi rejim Zionis itu hanya menyebabkan konflik yang lebih teruk selain mengundang kesan yang lebih serius. “Masyarakat antarabangsa perlu memandang serius dan melaksanakan segera langkah-langkah ter­tentu bagi menghalang penjajahan Israel serta pendatang haram Yahudi daripada terus menyerang penduduk Palestin dan menceroboh kawasan suci umat Islam.

Sementara itu, enam penduduk Palestin yang datang ke Washington untuk meraih sokongan bagi menentang pelan Israel merobohkan perkampungan mereka di Susiya, Tebing Barat, menerima bantuan daripada Senator Amerika Syarikat (AS), Dianne Feinstein. Kampung Susiya yang sebelum ini telah dimusnahkan, merupakan antara sejumlah kampung yang diancam pencerobohan tentera Israel dan menjadi simbol penjajahan rejim Zionis di Tebing Barat.

 Jabatan Negara AS turut mengeluarkan amaran terhadap sebarang tindakan merobohkan rumah penduduk Palestin di kampung itu akan memberi kesan buruk dan dianggap sebagai satu provokasi melampau. Seorang penduduk Susiya, Fatma Nawajaa berkata, dia telah penat dengan tindakan provokasi Israel dan sanggup datang ke AS untuk meraih sokongan menentang pelan rejim Zionis itu.

Fatma tiba di Washington bersama anak lelakinya berusia empat tahun, seorang sepupu, dan sepasang suami isteri dan anak mereka dari kampung berhampiran, Um Al Kheir dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan AS, Rebuilding Alliance. Kira-kira 300 penduduk mendiami Susiya yang terletak di kawasan bukit berdekatan Hebron dan mereka tidak memiliki kemudahan asas termasuk air dan elektrik sejak diusir 30 tahun lalu dari kawasan asal perkampungan mereka. – AFP  sumber

No comments: