Tuesday, September 1, 2015

Semut Ganti Racun Kawal Serangga Perosak



SYDNEY: Sekumpulan petani yang memanfaatkan kelebihan semut dapat mengawal ancaman serangga perosak dengan lebih baik berbanding penggunaan bahan kimia, demikian mengikut satu kajian terbaru. Hasil 70 kajian semula terhadap semut mendapati, petani di kawasan hutan hujan tropika menggunakan peralatan paling asas untuk menangkap, menternak dan melatih kumpulan semut bagi membunuh serangga lebih besar.

Jurnal Applied Ecology berkata, hasil kajian yang dilakukan di Asia, Afrika dan Australia mencadangkan petani di Eropah turut menggunakan semut untuk mengawal serangan serangga perosak. Penulis jurnal, Dr Joachim Offenberg dari Universiti Aarhus, berkata semut adalah pemburu hebat dan serangga itu berkerja secara bergotong-royong. "Apabila seekor semut menemui mangsa, dengan menggunakan 'feromon' bagi mendapatkan bantuan semut lain yang berada di sarang, ia dapat menewaskan serangga yang lebih besar," katanya.

Hasil kajian terhadap tanaman kacang gajus di Australia mendapati petani yang menggunakan semut, mencatat mengawal serangan serangga perosak 50 peratus lebih berkesan berbanding racun serangga. Kualiti tuaian hasil juga meningkat sebanyak 71 peratus. Semut diberi makan larutan gula untuk membantu mereka membiak. Tali diikat antara pokok bagi memudahkan pergerakan semut untuk memperkukuh sistem pertahanan.

Kajian terhadap lebih daripada 50 spesis serangga perosak menunjukkan semut melindungi tanaman seperti koko, limau, kelapa sawit dan ia mampu menandingi racun serangga. Dr Offenberg yang melakukan kajian terhadap semut selama 20 tahun mencadangkan supaya Eropah mempelajari sesuatu daripada kaedah itu kerana petani yang menanam epal boleh menjimatkan wang dengan menggunakan semut kayu bagi menyerang rama-rama musim sejuk. - AGENSI  sumber

No comments: