Tuesday, September 29, 2015

Taliban Gempur Bandar Kunduz

Anggota tentera Afghanistan berkawal di Kunduz ketika pertempuran

Beratus-ratus anggota mi­litan Taliban hari ini menggempur bandar Kunduz, di utara Afghanistan dari tiga penjuru selain turut menawan sebuah hospital. Jurucakap polis, Sayed Sarwar Hussaini berkata, serangan dilakukan dari tiga pintu masuk ke bandar berkenaan iaitu di Khanabad, Chardara dan Imam Sahed.

“Pertempuran sengit masih berlaku. Sebanyak 50 kematian dan kecederaan dilaporkan, namun butiran lanjut masih belum diperoleh,” jelasnya seperti laporan Al Jazeera. Tambahnya, serangan kali ini antara yang terbesar dilakukan oleh militan Taliban. Koresponden Al Jazeera, Abdullah Shahood yang berada di Kabul melaporkan, pertempuran terus berlaku di Kunduz antara Taliban dengan tentera kerajaan. Jelasnya, jalan-jalan ditutup dan ada di antara balai polis dan majlis daerah turut ditawan kumpulan militan berkenaan.

Kunduz menjadi sasaran Taliban yang melakukan beberapa siri serangan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini yang menyaksikan kumpulan militan tersebut bergabung dengan kumpulan pemberontak lain. Rangkaian televisyen BBC me­laporkan, Kunduz merupakan daerah penting yang menjadi penghubung untuk jalan besar ke utara dan selatan Afganistan.

Semalam, sebuah kumpulan pemberontak menyerang hari sukan di wilayah Paktika yang menyebabkan sembilan orang awam terbunuh selain berpuluh orang cedera parah. Pada masa yang sama, lebih 300 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) melakukan serangan di pintu masuk Nangarhar dan menyebabkan dua anggota polis terbunuh, manakala lebih 60 orang cedera.  sumber

No comments: