Thursday, October 29, 2015

350 Maut dalam Gempa di AFGHANISTAN dan PAKISTAN

ISLAMABAD: Jumlah kematian gempa bumi 7.5 magnitud di Afghanistan dan Pakistan terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 350 orang, dengan pasukan penyelamat kini sudah mula memasuki kawasan pedalaman. Pihak berkuasa pengurusan bencana Pakistan melaporkan 241 orang terbunuh dan lebih 1,600 yang lain cedera.

Sementara itu, pegawai Afghanistan mengesahkan sekurang-kurangnya 115 orang mati dan beratus-ratus lagi cedera. Jumlah yang maut di Afghanistan itu termasuk 12 pelajar perempuan, selepas dipijak sehingga mati dalam rempuhan ketika cuba melarikan diri keluar dari kelas mereka di wilayah Takhar, apabila gempa tiba-tiba melanda. Manakala 35 mangsa yang lain turut cedera di sekolah berkenaan.

Pecahan jumlah kematian yang sah setakat ini di Afghanistan termasuk 30 orang di wilayah Kunar; 12 di Takhar; sembilan di Badakhshan, wilayah berhampiran pusat gempa; lapan di Nangarhar, daerah bersempadan dengan Pakistan, dan sekurang-kurangnya dua di wilayah utara Baghlan.

Di Pakistan pula, sekurang-kurangnya 30 orang disahkan maut di kawasan utara; 185 orang di barat laut; sembilan di Gilgit-Baltistan dan satu di Kashmir. Pusat gempa terletak di wilayah Badakhshan yang dihuni hampir satu juta penduduk, yang kini di bawah kawalan militan Taliban. Afghanistan sering dilanda gempa terutamanya di kawasan pergunungan Hindu Kush, yang terletak berhampiran persimpangan Eurasia dan India. Gempa bumi 7.5 magnitud semalam itu turut dirasai di India, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan. -AFP  sumber

No comments: