Thursday, October 1, 2015

5 Suspek Bom Mumbai Dihukum Mati, 7 Dipenjara Seumur Hidup

MUMBAI 30 Sept. – Mahkamah India hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap lima orang tertuduh yang didapati bersalah merancang siri letupan bom melibatkan sebuah kereta api di Mumbai pada tahun 2006, sehingga menyebabkan 189 orang maut. Peguam bela, Wahab Khan berkata, tujuh lagi anak guamnya yang didapati bersalah kerana bersubahat dalam serangan tersebut, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah khas.

Katanya lagi, semua mereka akan mengemukakan rayuan. “Kami percaya semua mereka tidak bersalah dan mahkamah membuat keputusan berdasarkan pengakuan dan bukannya berdasarkan bukti yang kukuh,” kata Wahab. Semua 12 suspek kejadian tersebut dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan membunuh, mencetuskan konspirasi, dan mahu berperang dengan kerajaan dalam kejadian yang turut mengakibatkan 800 orang cedera.

 Dalam kejadian yang berlaku pada bulan Julai 2006 itu, sebanyak tujuh buah bom diletupkan di dalam kereta api pinggir bandar raya tersebut. Bom yang diletakkan di dalam periuk dan dibungkus di dalam beg itu disembunyikan di bawah helaian surat khabar dan payung di dalam kereta api berkenaan. Pendakwa raya berkata, bom berkenaan diletakkan di dalam kereta api kelas pertama ketika berada di Mumbai, dan menjadikan golongan atasan Gujarati sebagai sasaran. – AFP  sumber

No comments: