Monday, October 5, 2015

Awas Sidiket Phone Scam

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Tidak peka serta sikap cepat percaya menjadi punca utama ramai pengguna masih tertipu dengan sindiket ‘Phone Scam’ walaupun berkali-kali Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran mengenainya menerusi laporan di pelbagai media.

Penganalisis jenayah dan keselamatan, Kamal Affendi Hashim (gambar) berkata, penipuan mirip Macau Scam yang memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank itu telah banyak dilaporkan di akhbar, televisyen termasuk menjadi viral di media sosial seperti WhatsApp. Namun katanya, amat mengecewakan apabila kelalaian pengguna sendiri yang terlalu mudah mendedahkan maklumat peribadi dan membuat transaksi melulu tanpa bertanya mengenai latar belakang pemang­gil menjadi penyebab sindiket tersebut masih berleluasa.

 “Perkara ini telah banyak kali berlaku dengan modus operandi sama, tetapi masih ramai yang ‘terkena’ kerana kesilapan diri sendiri yang tidak menyelidik terlebih dahulu atau merasa sangsi dengan permintaan tidak logik sindiket itu. “Sepatutnya pengguna lebih bijak dan belajar mengatakan ‘tidak’ kepada mana-mana pemanggil yang meminta maklumat peribadi atau mahu mereka memindahkan wang ke akaun tidak dikenali sebaliknya terus sahaja melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam Mingguan Malaysia melaporkan, dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membuat panggilan telefon secara rambang, sebanyak RM300,000 hingga RM1 juta duit rakyat Malaysia berjaya ditipu dalam tempoh sebulan oleh sindiket ‘Phone Scam’ yang beroperasi di luar negara. Kesemua mangsa yang membuat laporan memberitahu diperdaya ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai bank.

Dalam pada itu, Kamal Affendi menasihatkan orang ramai agar sentiasa membuang jejak digital laman-laman web yang pernah dilawati dan elakkan daripada menggunakan kemudahan WiFi di tempat awam bagi melindungi diri menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab. “Sentiasa padamkan bahagian sejarah laman web yang pernah dilawati dan tidak menggunakan kemudahan WiFi di tempat-tempat awam untuk melakukan sebarang urusan transaksi perbankan dalam talian. “Lebih selamat gunakan talian internet sendiri kerana kita ada kata laluan dan hanya kita yang gunakan kemudahan itu. Tidak digalakkan guna WiFi awam kerana penggodam dengan mudah menggodam akaun bank kita,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tidak-peka-punca-pengguna-8232-masih-tertipu-sindiket-8216-phone-scam-8217-1.143004#sthash.WDH6Zbho.dpuf

No comments: