Thursday, October 1, 2015

INDONESIA Perlu 3 Tahun untuk Atasi Masalah Jerebu

Para pelajar dibenarkan pulang awal di Jambi, Indonesia, kelmarin, berikutan keadaan jerebu yang sem

JAKARTA 30 Sept. - Presiden Joko Widodo berkata, Indonesia memerlukan masa tiga tahun untuk mengatasi masalah jerebu yang melanda negara itu dan negara-negara jiran setiap tahun ekoran pembakaran hutan dan kawasan pertanian. Sambil menegaskan bahawa masalah jerebu tidak dapat di atasi dalam masa yang singkat, beliau berkata, tiga tahun adalah jangka masa yang diperlukan untuk melihat hasil dari usaha-usaha menamatkan masalah yang timbul setiap kali musim kemarau ini.

 “Masalah jerebu ini bukanlah suatu perkara yang dapat diselesaikan dalam masa yang singkat,” kata Joko Widodo atau Jokowi dalam wawancara dengan BBC seperti yang dipetik dari Kompas.com hari ini. Katanya, Indonesia telah melakukan yang terbaik untuk mena­ngani masalah jerebu yang turut memberi kesan kepada negara jiran seperti Singapura dan Malaysia. “Ini termasuk penghantaran 3,700 anggota tentera dan kira-kira 8,000 orang polis serta empat pesawat pengebom air untuk mema­damkan kebakaran,” ujarnya lagi. Menurut Jokowi, kaedah pembasahan tanah juga dilakukan supaya kawasan pertanian tidak kering dan mudah terbakar dengan cara pembinaan terusan seperti yang telah dilakukan di Kalimantan Tengah. Selain itu katanya, dalam usaha menangani masalah jerebu, pihak berkuasa juga menahan beberapa individu dan syarikat yang dipercayai melakukan pembakaran hutan dan kawasan pertanian untuk proses tanaman semula.

Kebakaran hutan dan kawasan pertanian kini melanda beberapa wilayah di Indonesia bermula dari Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, hingga Kalimantan Timur. Pembakaran besar-besaran hutan dan tanah pertanian dilakukan sebagai satu kaedah mudah dan murah untuk membuka kawasan pertanian baharu. Ekoran itu asap dari pembakaran tersebut melanda beberapa wilayah di republik ini dan negara jiran se­perti Malaysia dan Singapura.

Dalam pada itu, Jokowi memanggil Ketua Badan Bencana Negara, Willem Rampangile ke Istana Pre­siden hari ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai bencana jerebu dan meminta dipercepatkan usaha menangani masalah yang sudah berlarutan berbulan-bulan itu. – UTUSAN sumber

No comments: