Monday, October 19, 2015

Rakyat MESIR Mengundi Parlimen

KAHERAH 18 Okt. – Rakyat Mesir hari ini mengundi untuk memi­lih Parlimen baharu negara ini, kali pertama selepas pasukan tentera menyingkirkan bekas Pre­siden, Mohammed Mursi lebih dua tahun lalu. Pusat pengundian dibuka di 14 daripada 27 kawasan pentadbiran gabenor menerusi fasa pertama pengundian yang akan berjalan sehingga Disember ini.

Kira-kira 27.4 juta warga Mesir layak mengundi dalam fasa pertama pilihan raya yang diadakan selama dua hari. Seramai 2,573 calon bertan­ding bagi merebut 286 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya fasa pertama tersebut.

Pusat pengundian dibuka selama 12 jam bermula pukul 9.00 pagi waktu tempatan dan keputusan bagi pengundian fasa pertama itu dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini. Dua fasa pengundian bagi pilihan raya tersebut merupakan langkah ketiga dan terakhir selepas mewujudkan Perlembagaan baharu serta mengadakan pilihan raya Presiden dalam pelan peralihan yang disokong pihak tentera berikutan penggulingan Mursi pada Julai 2013.

Di bawah Perlembagaan 2014, Parlimen mempunyai kuasa yang luas termasuk hak untuk mencabar presiden dan mengadakan pilihan raya presiden lebih awal. Bagaimanapun, Parlimen akan datang dijangka tidak memberi cabaran serius kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi kerana sebilangan besar anggota secara terbuka menyokong bekas ketua tentera Mesir itu. Parlimen baharu itu juga me­rupakan yang pertama di Mesir selepas lebih tiga tahun.

Pada tahun 2012, mahkamah tinggi Mesir membubarkan Parlimen dikuasai golongan Islam atas alasan dipilih berdasarkan peraturan dan kaedah yang salah. – DPA  sumber

No comments: