Sunday, November 15, 2015

MALAYSIA ke-20 Tertinggi Kemalangan Jalan Raya

BENTONG 14 Nov. - Malaysia terus menunjukkan trend kemalangan jalan raya yang serius apabila menjadi negara ke-20 tertinggi merekodkannya berbanding 160 negara lain. LIOW TIONG LAI Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hal demikian dapat dilihat apabila dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, sebanyak 361,408 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara melibatkan 4,940 kematian.

 “Setiap tahun, hampir setengah juta kes kemalangan direkodkan di negara ini yang mana pada tahun lalu sahaja sebanyak 476,000 kes kemalangan direkodkan dengan 6,674 kematian. “Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua agensi terlibat se­perti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis dan pihak berkuasa tempatan bagi menurunkan kadar kemalangan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran program Jom JPJ di tempat letak kereta Terminal Bas Bentong di sini hari ini. Yang hadir sama Pengerusi MCA Pahang, Senator Datuk Hoh Khai Mun; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Ismail Bakar dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad. Menurut Tiong Lai, faktor kelajuan dan kecuaian pengguna jalan raya menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan di negara ini yang mana penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama kepada kes kemalangan maut.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak berkuasa meningkatkan pelbagai langkah pencegahan khususnya kepada penunggang motosikal bagi mengurangkan kadar kematian dalam kalangan mereka. “Kita juga akan memastikan ku­ri­kulum kelas memandu untuk penunggang motosikal lebih berkua­liti dan memastikan penunggang motosikal terutama golongan muda serta warga emas mempunyai lesen memandu.

“Mana-mana individu yang be­lum ada lesen, JPJ ada menyediakan pelbagai program bagi mereka mendapatkan lesen seperti porgram Mylesen bagi golongan muda,” katanya. sumber

No comments: