Tuesday, December 29, 2015

Aktivis Pengguna Sepatutnya Dihargai, Bukan Dilokap


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata apa yang berlaku tersebut amat dikesali kerana PPIM bukanlah musuh kepada pihak polis sebaliknya membuat kerja membantu orang ramai yang ditipu sejak berpuluh-puluh tahun. - Foto TRP/Mokhsin Zamani

KUALA LUMPUR,
26 Disember: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis memberi penjelasan mengapakah dua orang aktivisnya ditahan dan ditempatkan di lokap tahanan sedangkan mereka membantu pengguna yang ditipu oleh penjual yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata apa yang berlaku tersebut amat dikesali kerana PPIM bukanlah musuh kepada pihak polis sebaliknya membuat kerja membantu orang ramai yang ditipu sejak berpuluh-puluh tahun.

Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu melihat perkara ini kerana aktivis-aktivis berkenaan yang menjadi mangsa sedangkan mereka cuba untuk membantu.

“Kejadian berkenaan memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat akan merasakan sesuatu yang tak kena kerana yang nak membantu masuk ke dalam lokap tahanan.

“Jadi esok tak ada sesiapa yang nak bantu dan nanti apabila polis ada masalah pun masyarakat tak nak bantu. Kita tak nak ia terjadi kerana kita nak wujudkan masyarkat yang harmoni.

“Selalunya kalau kita menolong orang ditipu seharusnya kita diberi pujian tapi itulah harga yang kita kena bayar dan sebagai aktivis ini antara cabaran dan saya harap pengorbanan akan buka mata semua pihak,” katanya kepada The Rakyat Post di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dua aktivis PPIM yang dipanggil polis memberi keterangan berhubung kejadian pergaduhan di Kompleks Kota Raya, Ahad lepas.

Polis kemudiannya mengambil tindakan ke atas kedua-dua mereka atas Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah dan ditahan serta ditempatkan dalam lokap tahanan dan kemudiannya permohonan reman tambahan ke atas mereka ditolak majistret.

Tambah Nadzim lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu melihat serius ke atas perkara ini.

Jelasnya, penipuan seperti ini amat serius tatkala rakyat sudah tidak larat untuk berdepan dengan kekangan kewangan dan juga kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

“Apabila tidak ada sesiapa yang ke hadapan dan membantu, ia akan mewujudkan masyarakat kucar-kacir dan akan tiba masanya mereka yang tertekan ambil tindakan sendiri.

“PPIM berharap mereka yang bertanggungjawab lihat dengan serius kerana kita punyai masalah dalam konteks judi, gores dan menang dan penipuan penjualan seperti ini.

“Malah saya dapat maklumat perkara seperti ini berlaku di tempat-tempat lain dan mereka yang menipu ini seolah-olah dapat laluan hijau dan KDN diharapka dapat membantu NGO seperti kami yang ingin menolong pengguna yang ditipu,” ujarnya.

Tegasnya, PPIM akan terus membantu orang ramai dan pengguna yang ditipu serta menggesa seluruh rakyat bangkit dan bersama-sama membanteras perkara ini kerana ia bukan soal satu orang tetapi ramai yang ditipu.

“Saya harap pengguna terus memberi sokongan kepada apa yang kita buat kerana kalau mereka tak sokong maka sudah pastilah kita tidak boleh tolong.

“Jadi PPIM akan terus bantu pengguna sehingga mungkin gengster akan marah akan bunuh kita kelak dan berharap mendapat perlindungan yang sepatutnya.

“Kalau kita tidak dapat perlindungan, kita akan buat apa yang kita boleh buat tetapi kita berpegang kepada prinsip pihak berkuasa seharusnya melindungi pengguna,” katanya.-therakyatpost.com  sumber

No comments: