Monday, December 28, 2015

Penindasan CHINA Lenyapkan Identiti Warga XINJIANG

Menyebut tentang Xinjiang, pasti ramai tersentuh dengan isu penindasan etnik minoriti Islam Uighur di China yang berlanjutan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu berikutan pelaksanaan dasar ketat oleh Beijing.

Menyingkap kembali sejarah singkat tentang etnik Uighur, masyarakat itu merupakan kumpulan etnik asli Turkik yang tinggal di kawasan pergunungan Altay di Asia Tengah kira-kira 4,000 tahun dahulu. Berdasarkan catatan sejarah, Uighur membangun sebagai masyarakat yang maju dan memainkan peranan penting dalam pertukaran budaya di sepanjang Laluan Sutera iaitu rangkaian per­dagangan purba yang menghubungkan rantau Asia, Barat dan Timur. Sebagai hab pertembungan budaya, etnik Uighur memilih Islam sebagai agama pada abad ke-10 selepas Sultan Satuq Bughra Khan menjadi pemimpin pertama dinasti Turkik memeluk agama Islam.

Malah pada abad kelapan dan kesembilan, etnik Uighur berkembang sebagai satu empayar yang mempunyai kuasa dominan di Asia Tengah, sekali gus mengundang rasa cemburu dan iri hati daripada pihak musuh terutamanya daripada China. Kejatuhan empayar Uighur bermula apabila etnik minoriti bangsa Cina, Manchu melancarkan pencerobohan pada 1800-an selain kedatangan fahaman nasionalis dan komunis dari China dan Rusia. Akibatnya, empayar Uighur berpecah ke serata Asia Timur dan Asia Tengah dan kini kebanyakan etnik itu tinggal di tanah air mereka iaitu Wilayah Autonomi Xinjiang di China, sekali gus menjadi kumpulan etnik terbesar di wilayah tersebut.

Walaupun menetap di wilayah autonomi, etnik Uighur disenaraikan antara masyarakat yang ditindas ekoran dasar tidak masuk akal yang dilaksanakan oleh kerajaan terma­suk larangan berpuasa, menghadkan jumlah masjid, mengenakan kawalan yang ketat terhadap sekolah agama, menahan secara rambang, dan mengenakan hukuman terhadap etnik minoriti itu.

Dasar Beijing disifatkan sebagai sengaja mahu menghapuskan aktiviti kebudayaan, keagamaan, dan komersial etnik Uighur secara perlahan-lahan, lebih-lebih lagi melaksanakan polisi penghijrahan dengan menempatkan etnik Han ke wilayah itu bagi memecahkan dominasi masyarakat Islam Uighur. Malah dilaporkan, etnik Han diberi lampu hijau untuk merampas pekerjaan etnik Uighur selain merampas tanah dengan alasan pembangunan semula oleh kerajaan tempatan. Penghijrahan secara beramai-ramai etnik Han ke Xinjiang menyebabkan kira-kira 15 juta etnik Uighur di wilayah itu menjadi masyarakat minoriti di tanah asal mereka selain menghakis sedikit demi sedikit identiti sebuah masyarakat yang pernah berkuasa di Asia Tengah.

Selepas insiden serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, kerajaan China mengambil kesempatan melabelkan etnik Uighur sebagai kumpulan pengganas yang mempunyai hubungan dengan militan al-Qaeda dan me­nuduh masyarakat itu menerima latihan di Afghanistan untuk me­lancarkan serangan di China. Namun tiada bukti kukuh yang menunjukkan etnik Uighur terlibat dalam aktiviti keganasan.

Berdasarkan statistik, konflik antara etnik Uighur dan kerajaan China sejak 1960-an meragut kira-kira 800 nyawa, tetapi angka itu dipercayai lebih tinggi kerana Beijing melaksanakan penapisan be­rita berkaitan isu di wilayah itu. Tragedi paling besar berlaku pada 2009 apabila hampir 200 orang terbunuh, kebanyakannya etnik Uighur selepas rusuhan agama tercetus di Urumqi antara masyarakat Islam tersebut dengan etnik Han. Malah pada zaman teknologi maklumat pada hari ini, laporan perkembangan situasi umat Islam Uighur sukar didapati di Internet disebabkan kawalan ketat kerajaan China terhadap penyebaran berita. Selain mengetatkan undang-undang, kerajaan China turut menyasarkan identiti etnik Uighur dengan memusnahkan kawasan penempatan tradisional di bandar terkenal Laluan Sutera, Kashgar.

Projek Hak Asasi Uighur (UHRP) yang membela nasib etnik mino­riti itu melaporkan, tindakan memusnahkan kawasan bersejarah tersebut merupakan sebahagian pelan pihak berkuasa China untuk memindahkan hampir sejuta penduduk Islam Uighur di barat laut Xinjiang dan memberi laluan kepada penghijrahan etnik Han. Projek itu memusnahkan tapak warisan dunia dan kebudayaan bersejarah memandangkan bandar Kashgar pernah dikenali sebagai satu daripada bandar tradisional Islam paling terpelihara di dunia.

Walaupun Uighur masih majo­riti di Kashgar, wujud kebimbangan bandar itu mungkin menerima nasib seperti Urumqi yang didominasi kira-kira 75 peratus etnik Han berdasarkan bancian pada tahun 2000 berbanding hanya 20 peratus pada tahun 1949. Situasi di Xinjiang pada hari ini diibaratkan seperti bom jangka kerana rusuhan kaum dan keganasan terbaharu boleh tercetus pada bila-bila masa selagi kerajaan China terus mengamalkan dasar penindasan terhadap etnik Uighur. -  sumber

No comments: