Tuesday, December 29, 2015

Tentera IRAQ Tawan Semula Ramadi

RAMADI 28 Dis. - Tentera Iraq mencatat kejayaan terbesar dalam memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS) sejak melancarkan operasi tersebut tahun lepas apabila berjaya mengundurkan kumpulan militan tersebut dari kubu terkuat di Ramadi, bandar kedua terbesar di negara ini, semalam. Menurut jurucakap pasukan keselamatan Iraq, Sabah al-Nukman, semua anggota IS telah berundur dan pihaknya berjaya menawan kembali bandar yang terletak di wilayah Anbar itu.

Bagaimanapun, Sabah berkata, pasukan keselamatan antikeganasan masih tidak boleh memasuki beberapa kawasan berdekatan kompleks kerajaan di sini ekoran anggota IS menempatkan bahan letupan sebelum berundur. “Anggota IS sudah berundur. Tiada lagi tentangan. Operasi ini hampir diselesaikan,’’ katanya.

Pertempuran sejak dua hari lalu tertumpu di sekitar kompleks kerajaan yang mana kejayaan dicapai apabila kompleks itu berjaya ditawan semula. Menurut sumber perubatan, sebanyak 93 anggota keselamatan mengalami kecederaan dan lima terkorban dalam pertempuran tersebut. Penduduk Iraq mengibarkan bendera negara ini bagi meraikan kemenangan selepas berjaya menawan bandar Ramadi termasuk di beberapa bandar di Baghdad dan Karbala. Speaker Parlimen, Salim al-Juburi dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah kepada ‘wira pasukan keselamatan Iraq dengan kemenangan besar ini sekali gus membebaskan bandar Ramadi daripada keganasan’.

Tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam memberi sokongan kepada pasukan tentera Iraq turut mengucapkan tahniah atas kejayaan merampas kembali selepas bandar itu ditawan oleh IS pada Mei lalu. “Kejayaan ini adalah hasil kerja kuat beberapa pasukan termasuk tentera Iraq, pasukan keselamatan antikeganasan dan Tentera Udara Iraq, pasukan polis tempatan serta dibantu oleh lebih 600 serangan udara sejak Julai lalu,” ujar jurucakap Kolonel Steve Warren. – AFP sumber

No comments: