Friday, December 11, 2015

TURKI Gesa Rakyatnya Keluar dari IRAQ

ANKARA 10 Dis. – Kementerian Luar Turki semalam menggesa rakyatnya yang berada di semua wilayah Iraq, selain Kurdistan segera meninggalkan negara itu berikutan peningkatan terhadap risiko keselamatan. Kementerian tersebut turut memberi amaran kepada rakyat Turki supaya tidak membuat perjalanan ke beberapa wilayah di Iraq termasuk Basra, Najaf, Anbar dan Kirkuk.

 “Kami menasihatkan rakyat Turki yang berada di sana yang tidak mempunyai urusan penting supaya meninggalkan wilayah itu secepat mungkin. “Skop amaran perjalanan ke Iraq telah diperluas merangkumi semua wilayah kecuali Dahuk, Arbil dan Sulaymaniyah yang berada di dalam kawasan utara Kurdistan Iraq,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya. Ankara mencatatkan peningkatan ancaman yang menjadikan syarikat-syarikat Turki sebagai sasaran termasuk pengisytiharan terhadap keganasan, penculikan dan serangan.

 Kementerian Luar Turki juga menggesa rakyat Turki yang tinggal di kawasan puak Kurdis di Iraq supaya menjauhkan diri dari kawasan-kawasan berlakunya operasi ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) dan mematuhi segala amaran serta panduan yang dikeluarkan oleh pentadbiran puak tersebut. Amaran itu dibuat ketika ke­tegangan semakin meningkat antara Ankara dan kerajaan pusat Baghdad berikutan penempatan sehingga 300 askar Turki di wilayah Iraq yang didakwa Ankara bertujuan melatih tentera Iraq bagi merampas kembali kota Mosul da­ripada kumpulan militan IS. – AFP  sumber

No comments: