Wednesday, January 20, 2016

3500 Wanita dan Kanak2 Jadi Hamba IS

GENEVA: Dianggarkan 3,500 wanita dan kanak-kanak dalam tahanan militan IS dijadikan hamba, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malam ini. Berdasarkan laporan dikeluarkan pertubuhan berkenaan, kebanyakan mereka yang ditahan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak masyarakat Yazidi. Misi bantuan PBB untuk Iraq dan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB sudah mendokumenkan penderaan berleluasa yang dilakukan kumpulan terbabit, antaranya perbuatan jenayah perang, kemanusiaan dan kemungkinan pembunuhan beramai-ramai.

 Mereka turut melaporkan militan IS menguatkuasakan undang-undang keras dan menjalankan hukuman bunuh di depan khalayak ramai. Laporan PBB turut menyentuh tindakan IS yang melatih remaja untuk dijadikan tentera. Sekitar 800 hingga 900 orang kanak-kanak diculik di bandar Mosul untuk menjalani latihan ketenteraan dan agama.

Antara awal tahun 2014 dan penghujung Oktober 2015, laporan itu menyebut sekurang-kurangnya 18,802 orang awam dibunuh di Iraq dan 36,245 lagi cedera. Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra'ad Al Hussein, berkata angka terbabit masih tidak mampu menggambarkan penderitaan dilalui oleh orang awam di Iraq. "Angka itu hanya menggambarkan mereka yang dibunuh atau cedera akibat keganasan, tetapi jumlah mereka yang mati akibat kebuluran, kehausan dan tidak mendapat bantuan perubatan tidak terkira jumlahnya," katanya. - AGENSI sumber

No comments: