Friday, January 1, 2016

Hotel Mewah di Dubai Terbakar, 16 Cedera



DUBAI: Seramai 16 cedera dalam kebakaran sebuah hotel mewah berdekatan menara tertinggi dunia, Burj Khalifa, beberapa jam menjelang sambutan tahun baharu. Saksi berkata, Hotel Address Downtown yang terletak cuma beberapa blok dari menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa terbakar membabitkan beberapa tingkat ketika siren berbunyi dan helikopter berlegar di udara. Ketua Polis Dubai berkata, tetamu di hotel lima bintang itu dipindahkan dari tempat kejadian dan setakat ini punca kejadian belum dapat dipastikan dan kebakaran tidak dapat dipadamkan sepenuhnya selepas beberapa jam berlaku.

"Semua tetamu dipindahkan. Sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya, kami tidak mempunyai maklumat mengenai punca kejadian," kata Jeneral Khamis Matar al-Mzeima. Sehubungan itu, tweet dari Pejabat Media Dubai berkata: "Sekurang-kurangnya 14 mengalami kecederaan ringan dan seorang agak parah dan seorang lagi mengalami serangan jantung akibat berasak-asak." Seorang saksi, Raphael Slama berkata, kebakaran bermula pada kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan dan merebak di beberapa tingkat hotel berkenaan.

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata: "Kebakaran bermula di bahagian tengah hotel dan merebak seperti kilat sebelum merebak ke atas semula." "Orang ramai yang berada dekat dengan tempat kejadian mula panik dan melarikan diri jauh dari situ," katanya. Kumar, yang berada dekat dengan hotel itu berkata: "Kami nampak kebakaran dari tingkat atas, dua jam sebelum tengah malam dan orang ramai mula menjerit dan berlari jauh dari hotel." Terdahulu, pejabat Media Dubai menerusi Twitter berkata, sambutan tahun baharu tetap diteruskan pada ketika api masih marak. "Sambutan tahun baharu di Dubai masih diteruskan mengikut jadual."

Kira-kira satu juta orang berkumpul di sekitar Burj Khalifa untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sempena sambutan berkenaan. Ekonomi Dubai amat bergantung kepada pelancongan dan tahun baharu adalah satu daripada acara paling sibuk yang menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia untuk menyaksikan pertunjukan bunga api dari atas menara tertinggi di dunia dan Burj Al Arab dan pulau buatan manusia. Penganjur memasang 400,000 lampu LED di Burj Khalifa dan menggunakan 1.6 tan bunga api bagi pertunjukan menakjubkan selama tujuh minit. Selain itu, seorang saksi yang berada di tempat kejadian berkata, penganjur sambutan tahun baharu dan pihak keselamatan mula panik dan menjerit sambil membawa orang ramai ke Dubai Mall, antara pusat beli belah terbesar di dunia. "Setengah jam kemudian, mereka meminta kami meninggalkan pusat beli belah itu kerana ia akan ditutup, dan orang ramai mula berlari keluar," katanya. "Ramai orang menjerit dan pengsan, keadaan makin sesak, mereka mula tolak menolak dan ambulans banyak di luar," katanya lagi.

Dua tahun lalu pada sambutan tahun baharu, Dubai memecahkan rekod dunia apabila membuat persembahan bunga api terbesar. Pada Februari lalu, kebakaran besar di sebuah bangunan pencakar langit sini memusnahkan pangsapuri mewah di Menara Torch dekat kejiranan Dubai Marina yang didiami ramai expatriat. Pada 2012, Tamweel Tower sebuah bangunan 34 tingkat di daerah Jumeirah Lake Towers turut terbakar. Siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada puntung rokok yang dibuang ke dalam tong sampah. - AFP  sumber

No comments: