Tuesday, January 5, 2016

IRAN Terus Bertegas dengan SAUDI

TEHRAN: Keputusan Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran susulan serbuan ke atas kedutaannya di Tehran tidak akan mengalih perhatian terhadap 'kesilapan besar' Riyadh melaksanakan hukuman mati ke atas seorang ulama Syiah, kata seorang pegawai kanan Iran, hari ini. Timbalan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dipetik agensi IRNA sebagai berkata, biarpun Riyadh mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan (diplomatik), Arab Saudi tidak dapat membuat (dunia) lupa kesilapan besarnya melaksanakan hukuman mati ke atas seorang ulama.

Katanya, Arab Saudi melakukan "kesilapan strategik dalam menerima pakai keputusan yang keras dan terburu-buru hingga menularnya ketidakstabilan dan meningkatnya keganasan di rantau ini." Pelaksanaan hukuman mati ke atas Nimr al-Nimr mencetuskan kemarahan dan bantahan di negara majoriti Syiah itu sehingga menyebabkan serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan konsulat di Mashhad.

Tindakan serangan terbabit menyebabkan hubungan kerajaan Arab Saudi dan Iran terjejas. Sementara itu, dalam beberapa tahun lalu, kedua-dua negara membuat pendirian berbeza terhadap peperangan di Syria, di mana Iran menyokong rejim dan konflik di Yaman memperlihatkan Arab Saudi mengetuai pakatan memerangi pemberontak Syiah. - Agensi sumber

No comments: