Thursday, January 28, 2016

Jenazah Pelajar MALAYSIA Maut di JORDAN Dikebumikan

KOTA BHARU 27 Jan. – Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah dua pelajar Universiti Mu’tah, Jordan dari negeri ini yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di negara itu, Sabtu lalu di dua lokasi berlainan, malam ini. Terdahulu, jenazah kedua-kedua pelajar itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.25 petang sebelum diterbangkan ke negeri ini dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira pukul 7.30 malam.

Jenazah Al Najiatun Nailah Mohd. Shafie disembahyangkan di Madrasah Tuan Guru Haji Omar, Tumpat sebelum dikebumikan sebelah pusara neneknya, Hasnah Yusof di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang kira-kira pukul 9.45 malam. Antara yang turut menyertai solat jenazah serta hadir pengebumian Allahyarham ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta kira-kira 500 penduduk setempat. Sepupu arwah, Kamarul Adli Mohd. Yusof, 48, berkata, seluruh ahli keluarga masih bersedih, namun bersyukur kerana segala urusan penghantaran pulang dan pengebumian Al Najiatun Nailah berjalan lancar. Sementara itu, jenazah Hana’ Azhar, 21, disembahyangkan di rumah neneknya di Kampung Tok Bok, Machang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Bok kira-kira pukul 10 malam. Yang turut hadir Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Dalam kejadian di Mafraq, Jordan pukul 2.30 petang (waktu Malaysia) Sabtu lalu, Hana’ dan Al Najiatun Nailah maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan dipandu lelaki tempatan. Seorang lagi yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, 21, yang berasal dari Kuala Lumpur manakala dua lagi rakan mereka, Muhammad Izzam Asif Anuwar, 21, serta Fatin Noor Syahirah Ramli, 21, tercedera.  sumber

No comments: