Tuesday, January 19, 2016

MALAYSIA Sasaran Baru IS

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Bukan lagi cerita rekaan atau retorik, Malaysia kini sememangnya sudah menjadi sasaran seterusnya oleh kumpulan militan IS yang mahu melakukan serangan berdarah pada bila-bila masa. Azmi Hassan Azmi Hassan Buktinya, baru-baru ini beberapa orang rakyat Malaysia yang direkrut oleh kumpulan militan itu berjaya ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan rata-rata mereka me­ngakui akan melakukan serangan seperti meletupkan bom di lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat dan pelancong di negara ini.

Pakar Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, propaganda yang menyatakan hanya negara-negara Barat dijadikan sasaran oleh IS tidak lagi relevan, sebaliknya pengaruh kumpulan militan itu sudah menular ke Asia Tenggara. Menurutnya, antara punca IS menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai sasaran adalah kerana majoriti penduduk yang beragama Islam selain daripada konflik di selatan Thailand dan Filipina. Jelasnya, IS juga ‘bijak’ mempengaruhi masyarakat Islam dengan fahaman ektremis serta gerakan mereka dengan mudah berbanding yang lain.

 “Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi sasaran IS. Ambil iktibar daripada kejadian serangan di Jakarta minggu lepas. Insiden itu berlaku kerana pihak berkuasa di sana terlepas pandang. “Perkara yang sama boleh berlaku di sini. Buktinya sehingga hari ini, PDRM telah menangkap seramai 100 orang disahkan anggota kumpulan IS, malah ada di antara mereka sudah membuat pengakuan me­rancang untuk melakukan aktiviti militan. Semua ini adalah ancaman nyata dan bukan omong-omong ­kosong sahaja. Kita memang diancam oleh IS,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Azmi Hassan, kumpulan itu juga sangat berbahaya kerana mereka mampu melakukan apa sahaja walaupun terpaksa mengorbankan nya­wa sendiri atau me­libatkan orang sekeliling. “Siri pengeboman yang berlaku akhir-­akhir ini membuktikan ancaman pengganas se­makin jelas dan perlu dibendung. Rakyat di ne­gara ini juga perlu berwaspada dan membantu pihak polis menanganinya. “Sekiranya ada ahli keluarga atau rakan taulan yang terpengaruh dengan militan, hubungi segera pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Mereka yang sudah terpengaruh dengan IS ini sebenarnya akan berpe­rangai radikal dan aneh. Jangan cuba sembunyikan orang seperti ini yang akan mendatangkan bahaya kepada masyarakat serta negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, pakar kajian strategik dan keganasan, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, pengganas semakin berani melakukan serangan di tempat awam kerana mahu menarik perhatian, menakutkan rakyat serta pemerintah supaya ‘perjuangan’ mereka difahami. “Mengapa mereka pilih tempat awam? Sebabnya tidak lain kerana kumpulan pengganas tidak berupaya menyerang pusat-pusat pertahanan negara. Cara ini sahaja mereka mampu buat untuk menunjukkan kekuatan,” katanya ketika di temuramah Bernama baru-baru ini. Berdasarkan pembabitan 17 rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kegiatan militan termasuk terbaharu membabitkan Mohd. Amirul Rashid Abd Rahim, 26, dan Mohd. Syazwan Mohd Salim, 31, baru-baru ini, beliau berkata, trend itu adalah membimbangkan. “Perkembangan ini menunjukkan keganasan semakin menghampiri perbatasan negara ini. Bagaimana jika kelompok yang dipengaruhi ideologi radikal IS dan telah menjalani latihan pulang ke Malaysia? “Kanak-kanak yang tidak me­ngerti tentang keganasan dan diracuni pemikiran mereka sejak kecil dan direkrut oleh IS boleh dipersalahkan apabila terjebak dengan kumpulan tersebut,” katanya. Ujar beliau, kanak-kanak yang dipengaruhi ideologi kumpulan militan amat berbahaya dan mereka tidak takut melakukan kerosakan kerana telah didedahkan dengan aktiviti keganasan. “Mereka membesar dengan penuh kebencian dan dendam. Matlamat hidup mereka bukan untuk menuntut ilmu, tetapi membunuh musuh melalui keganasan,” katanya.  sumber

No comments: