Tuesday, January 5, 2016

Melaka Bakal Haramkan Vape

MELAKA 4 Jan. – Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik dan vape di negeri ini selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Idris Haron Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pengharaman penjualan serta penggunaan alat tersebut akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat setelah diputuskan melalui perbincangan oleh jawatankuasa perbincangan mengenai fatwa itu yang diwujudkan kerajaan negeri.

Menurutnya, isu pengharaman rokok elektronik dan vape itu akan dibincangkan secara terperinci selepas menerima laporan penuh da­ripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman dalam Mesyuarat Exco ke­rajaan negeri, Rabu ini. “Kita perlu mendapatkan maklumat tentang jumlah peniaga vape di negeri ini serta turut akan mengadakan perbincangan bersama mereka sebelum tarikh penguatkuasaannya diumumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meng­adakan lawatan sempena bermulanya sesi persekolahan 2016 di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatan­kuasa Pelajaran, Pe­ngajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Tek­nologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Pe­ngarah Pendidikan ne­geri, Abu Bakar Sahari. Jelas Idris, pihak kerajaan negeri ba­gaimanapun akan me­ngambil langkah pro­aktif membantu para pengusaha dan peniaga vape yang telah mempunyai lesen daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mungkin terjejas ekoran pengharaman alat berkenaan.

“Kita akan melihat bidang perniagaan lain yang boleh diceburi peniaga atau penjual barangan vape sedia ada ini bagi membantu mereka terus menjalankan perniagaan serta tidak mengganggu mata pencarian mereka,” ujarnya. Sebelum ini, MBMB telah mengeluarkan kira-kira 20 lesen perniagaan kepada peniaga serta peng­usaha rokok elektronik dan vape sekitar bandar raya Melaka.

Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini telah memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram setelah membuat pertimbangan dari semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat. -  sumber

No comments: