Wednesday, January 27, 2016

Tentera SYRIA Tawan Bandar Penting di Deera

Tentera Syria berjaya menawan sebuah bandar penting di wilayah Deera di selatan negara ini daripada pasukan pemberontak selepas pertempuran sengit selama hampir dua minggu. Menurut kumpulan aktivis Syria yang dipetik oleh aljazeera.com, kekalahan kumpulan penentang di bandar Sheikh Maskin itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan tentera kerajaan di wilayah itu, selain menyekat saluran bekalan utama kepada kumpulan penentang.

Deera merupakan kawasan terawal tercetus penentangan terhadap kerajaan Syria pada 2011, selain menjadi laluan penting bagi tentera kerajaan dan kumpulan penentang. “Bandar itu penting bagi kedua-dua pihak, dan sekarang tentera kerajaan berjaya memotong hubungan pasukan bersenjata kumpulan penentang di timur dan barat Deera,” kata Ketua Kumpulan Pemerhati Hak-hak Asasi Manusia bagi Syria yang berpangkalan di United Kingdom, Rami Abdulrahman. Menurut kumpulan tersebut, dalam pertempuran tersebut tentera kerajaan dibantu oleh pasukan bersenjata Hizbollah serta bantuan serangan udara jet pejuang Rusia. Kumpulan penentang pula terdiri daripada barisan al-Nusra, kumpulan militan Islam dan sekutunya, Tentera Pembebasan Syria yang disokong barat.

Pertempuran tersebut menyebabkan kemusnahan teruk di bandar berkenaan. Pakar analisis, Juan Cole dari Universiti Michigan memberitahu Al Jazeera, kejayaan tentera kerajaan menawan banyak kawasan di selatan negara ini amat penting, memandangkan sebelum ini kumpulan penentang menguasai 79 peratus wilayah Deera. Katanya, kejayaan tersebut berikutan campur tangan Rssia terutama melalui serangan udara yang menyebabkan pasukan bersenjata kumpulan penentang berpecah. “Keadaan sudah terbalik 180 darjah sejak campur tangan Rusia dan keadaan ini akan memberi kesan terhadap logistik pasukan bersenjata kumpulan penentang,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam dua serangan bom berani mati di sebuah pusat pemeriksaan tentera di bandar Homs hari ini, kata media tempatan. Menurut laporan stesen televisyen tempatan, 100 orang dikhuatiri cedera dalam serangan ke atas kawasan perumahan Al-Zahraa, yang menjadi sasaran serangan bom sebelum ini. Gabenor wilayah Homs, Talal Barazi memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan itu. Katanya, dua pengebom itu bertindak meletupkan diri mereka di pusat pemeriksaan tentera di bandar itu. Salah seorang pengebom meletupkan dirinya selepas keluar dari kereta yang dinaikinya, manakala seorang lagi meletupkan dirinya di dalam kereta. – AFP  sumber

No comments: