Thursday, February 25, 2016

Balu Saman MAS atas Kehilangan MH370

SYDNEY 24 Feb. – Balu dan dua anak lelaki kepada salah seorang mangsa tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 bertindak mengemukakan saman terhadap syarikat penerbangan itu di mahkamah Australia, hari ini. Yen Li Chong, 49, serta dua anaknya, Justin Jia Tian Tan, 19, dan Javier Jia He Tan, 15, menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada syarikat pe­nerbangan MAS akibat kejutan yang mereka alami selepas mene­rima berita kehilangan pesawat ber­kenaan dua tahun lalu.

Suaminya, Chong Ling Tan merupakan penumpang kabin kelas perniagaan apabila pesawat Boeing 777 itu disahkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Keluarga tersebut mengemukakan saman terhadap MAS di bawah Konvensyen Montreal 1999 yang menetapkan liabiliti ditanggung sya­rikat penerbangan jika berlaku sebarang kemalangan.

“Defendan bertanggungjawab terhadap kejutan seperti yang dialami oleh plaintif pertama, kedua dan ketiga akibat kematian Ling Tan,” jelas writ saman yang difailkan di Mahkamah Agung Victoria itu. Dokumen tersebut mendakwa syarikat penerbangan MAS gagal memastikan keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah dan penerbangan itu tidak dipantau dengan baik. Menurut writ saman itu, kejutan yang dialami tiga beranak itu adalah akibat langsung dan boleh diramal daripada kehilangan pesawat syarikat penerbangan itu.

 Writ yang difailkan itu, ba­gaimanapun tidak menyatakan kewarganegaraan plaintif, tetapi keluarga tersebut tinggal di Victoria, Australia. – AFP - sumber

No comments: