Wednesday, February 10, 2016

Bayi Mati Hidup Semula

BEIJING 9 Feb. - Seorang bayi yang disahkan telah meninggal dunia dan ditinggalkan semalaman di bilik mayat, disahkan masih hidup ketika persiapan untuk membakar mayatnya dijalankan. People’s Daily Online melapor­kan, bayi lelaki bernama An An yang berusia sebulan itu didapati masih bernafas di Rumah Mayat Pan’an di Jinhua, wilayah Zhejiang pada Jumaat lalu selepas 15 jam ‘mayatnya’ ditempatkan di dalam peti sejuk pada suhu -12 darjah Celcius. Dia segera dibawa ke Hospital Pan’an dan ditempatkan di unit rawatan rapi. Bapa bayi itu turut terkejut menerima makluman daripada rumah mayat berkenaan.

Doktor yang merawat bayi itu berkata, ini adalah kali pertama beliau menyaksikan orang yang diisytihar mati hidup semula. “An An dilahirkan pramatang di Hospital Pan’an pada bulan lalu. Dia terpaksa dirawat di dalam inkubator selama 23 hari. “Bapanya mahu membawanya pulang untuk meraikan Tahun Baharu Cina, namun keadaan An An semakin teruk,” kata doktor itu.

Tambah beliau, bayi itu disahkan meninggal dunia 4 Februari lalu. Sebelum An An dihantar ke bilik mayat, tubuhnya dibalut dengan dua lapisan baju sebelum disimpan di dalam sebuah beg tebal, yang dipercayai menyelamatkan nyawanya. Doktor bagaimanapun masih bimbang tentang kesihatan bayi tersebut. – AFP - sumber

No comments: