Wednesday, February 10, 2016

Guna Helang Tumpaskan Drone

LONDON 8 Feb. - Polis Britain sedang menimbangkan untuk melatih burung helang bagi melakukan ‘serangan’ ke atas pesawat kawalan jauh atau drone yang kini menimbulkan ancaman di ibu negara ini. Komisioner Metropolitan, Sir Bernard Hogan-Howe mendapat idea tersebut setelah melihat kejayaan Belanda melatih burung-burung pemangsa itu menyambar drone di udara. Beliau telah meminta ketua-ketua polis di Scotland Yard untuk mengkaji kemungkinan menggunakan burung helang bagi menjadikan kota London lebih selamat, selepas timbul kebimbangan drone digunakan oleh kumpulan penjenayah untuk menyeludup dadah ke dalam penjara.

Menurut portal mirror.co, pegawai-pegawai kanan polis percaya drone juga boleh digunakan pengganas untuk menggugurkan bom atau mengintip sasaran tertentu. Scotland Yard sedang mengkaji secara serius kemungkinan menggunakan burung pemangsa itu sebagai pendekatan terbaharu bagi menangani jenayah kerana tindakan menembak drone adalah terlalu berbahaya.

Jurucakap Scotland Yard berkata, pihaknya berminat dengan semua idea inovatif termasuk ‘projek helang’ yang diguna oleh Belanda. Polis Belanda melatih burung helang untuk ‘menangkap’ drone dan membawanya turun ke tanah dalam usaha menguatkuasakan undang-undang baharu drone bagi menghalangnya berada dalam kawasan larangan.

Menurut seorang anggota polis, Mark Wiebe, drone yang mempunyai kamera diharamkan di Belanda kerana boleh menimbulkan bahaya jika terjatuh dan menimpa orang ramai. Di Britain, drone turut menimbulkan ancaman, walaupun pesawat itu boleh terbang sejauh kira-kira 150 meter di kawasan sesak dan 50 meter dari manusia, kapal, kenderaan atau bangunan tanpa dikawal oleh juruterbang. Baru-baru ini sebuah drone hampir melanggar sebuah kapal terbang berhampiran bangunan Parlimen Britain dalam kejadian yang disifatkan oleh juruterbang kapal terbang terlibat sebagai ‘bernasib baik’. - sumber

No comments: