Saturday, February 27, 2016

Tentera FILIPINA Bunuh 42 Militan

Sejumlah 42 orang anggota kumpulan militan yang dipercayai melaungkan taat setia kepada kumpulan militan IS dibunuh dalam operasi selama lima hari oleh pasukan keselamatan Filipina. Jurucakap pasukan tentera, Mejar Filemon Tan berkata, selain itu, pa­sukan keselamatan turut menawan sebuah kubu milik kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) di wilayah Lanao del Sur, Pulau Mindanao, selatan negara ini.

 “Sebanyak tiga orang anggota tentera terkorban, manakala 11 yang lain cedera sepanjang operasi berlangsung. “Tentera Filipina juga berjaya menawan kubu kuat kumpulan militan itu,” katanya kepada pemberita menerusi satu panggilan telefon dari wilayah selatan negara ini. Tambah beliau, ketika ini, pasukan keselamatan masih memburu saki-baki anggota militan berkenaan menggunakan aset-aset ketenteraan yang ada. Tan berkata, pihaknya menggunakan meriam sebaik sahaja mengetahui lokasi persembunyian militan, manakala bom serta serangan roket turut dilancarkan daripada helikopter oleh pasukan tentera udara.

Tambah beliau, serangan tersebut dilakukan berdekatan pekan Butig, yang menempatkan pangkalan terbesar milik Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Bagaimanapun, MILF tidak ter­babit dengan pertempuran baharu itu, sebaliknya membantu kira-kira 8,000 penduduk yang hilang tempat tinggal selepas operasi tersebut bermula 20 Februari lalu. Kerajaan Filipina menandata­ngani perjanjian damai dengan MILF pada Mac 2014 dalam usaha menamatkan konflik selama 45 tahun yang telah meragut nyawa lebih 120,000 orang awam.

Pihak berkuasa Filipina percaya, sebahagian penduduk Islam di wilayah selatan terutamanya bekas pengikut kumpulan militan Abu Sayyaf, terlibat dengan gerakan IS di Iraq dan Syria, namun tidak mempunyai bukti berhubung perkara itu. Di Mindanao ketika ini, pasukan tentera dikatakan masih memburu pengikut kumpulan Abu Sayyaf yang memiliki beberapa kerakyatan asing termasuk Jepun, Belanda, Kanada, dan Norway. – REUTERS -  sumber

No comments: