Thursday, March 31, 2016

Ceroboh Perairan MALAYSIA, Duta CHINA Dipanggil

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan laporan akhbar sebelum ini berhubung kehadiran sejumlah besar kapal nelayan mengibarkan bendera China yang menceroboh kawasan maritim Malaysia di Laut China Selatan. Berdasarkan laporan pihak berkuasa Malaysia, Kementerian Luar berkata, kapal berkenaan berada dalam perairan negara ini bersama kapal pengawal pantai republik itu.

 "Sehubungan itu, Kementerian Luar hari ini memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, untuk mendapatkan penjelasan dan memaklumkan kebimbangan Malaysia berhubung isu ini. "Kita percaya China berkongsi dan berpegang kepada sentimen hubungan rapat lagi meluas kedua-dua negara sudah lama berakar umbi. "Malah, ia kini dipertingkatkan kepada perkongsian strategik komprehensif," kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Kementerian Luar menegaskan, perkongsian itu berpaksikan kepada sikap saling menghormati kedaulatan, integriti persempadanan, kesaksamaan, persetujuan bersama bagi mengelak kekasaran dan campur tangan dalam isu dalaman negara masing-masing, manfaat bersama serta mengekalkan kemakmuran. 

Dalam konteks itu, Kementerian Luar yakin semangat setia kawan dan keikhlasan Malaysia-China dapat merumuskan penyelesaian secara damai bagi isu membabitkan kedua-dua negara. 

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, mendedahkan sekurang-kurangnya 100 bot dan kapal dari China dikesan di perairan Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan, kira-kira 84 batu nautika dari Pantai Miri, Sarawak. Susulan laporan itu, tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak dihantar ke perairan Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan dari Pantai Miri bagi membuat pemantauan.

sumber 

No comments: