Kejadian bukan bermotifkan keganasan, namun ada laporan mendakwa, suspek, Seif Eldin Mustafa, 27, yang tidak stabil dari segi mental berbuat demikian untuk bertemu bekas isterinya di Cyprus.

Insiden tersebut bermula apabila suspek yang dilengkapi bahan letupan mengugut juruterbang pesawat penumpang EgyptAir MS191 supaya melakukan pendaratan di sebuah lapangan terbang di Cyprus.

Seif Eldin yang memiliki kerakyatan Mesir dan Amerika Syarikat dikatakan menghubungi pusat kawalan udara di Lapangan Terbang Larnaca pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan selepas mengancam mahu meletupkan pesawat yang dalam penerbangan dari Iskandariah ke Kaherah, dan kebenaran untuk mendarat perjalanan hanya diberikan kira-kira 20 minit kemudian.

Kementerian Penerbangan Awam Mesir dalam kenyataannya turut mengesahkan, juruterbang pesawat MS181, Omar al-Gammal menghubungi pihak berkuasa selepas dia diugut lelaki berkenaan sekali gus tidak memberikannya pilihan selain melakukan pendaratan di Cyprus.

Kementerian terbabit menambah, seramai 21 rakyat asing menaiki pesawat berkenaan termasuk lapan rakyat Amerika Syarikat (AS), masing-masing empat dari Belanda dan Britain dan seorang rakyat Perancis, manakala selebihnya merupakan penumpang Mesir.

Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu juga mengesahkan seramai 81 orang berada dalam pesawat tersebut termasuk 21 warga asing dan 15 orang kru pesawat.

Sepasukan pakar krisis juga dikerah ke lapangan terbang itu dan hasil rundingan menyaksikan suspek pada mulanya membebaskan semua penumpang kecuali tiga rakyat asing dan empat kru pesawat.

Saksi kejadian berkata, lelaki ber­kenaan melemparkan sepucuk surat keluar dari pesawat dan meminta surat yang ditulis dalam bahasa Arab itu dihantar kepada bekas isterinya.

Susulan kejadian, pihak berkuasa Cyprus menutup lapangan terbang terbabit buat sementara dan semua penerbangan dialihkan ke Paphos yang terletak di bahagian barat negara ini.

Presiden Cyprus, Nicos Anastasiades turut mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan keganasan.– REUTERS/AFP sumber