Saturday, March 5, 2016

Perkahwinan Mayat Kembali Popular di CHINA

BEIJING 4 Mac – Penduduk Shanxi di China yang kematian ahli keluarga perempuan, mula ‘tidak senang duduk’ apabila kegiatan mencuri mayat wanita di wilayah itu untuk dijadikan sebagai pasangan pengantin kepada mayat lelaki bujang, kembali menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Portal Mirror.co.uk memetik kenyataan Timbalan Pengarah Polis Daerah Hongtong, Lin Xu sebagai berkata, ‘perkahwinan hantu’ itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 mayat wanita hilang dari kubur sejak tiga tahun lalu.

 Ini berlaku kerana masyarakat di China mempercayai lelaki bernasib malang sekiranya mati tanpa berkahwin. Oleh itu, bagi mengelak nasib buruk, keluarga si mati akan mencari ‘pasangan’ kepada mayat ahli keluarga lelaki yang masih bujang. Rangka wanita yang dicuri akan diikat dengan wayar logam sebelum dipakaikan dengan set persalinan dan dikebumikan di sebelah mayat si lelaki. Kegiatan mencuri rangka wanita itu mengakibatkan keluarga mang­sa cuba untuk mengesan semula mayat keluarga mereka termasuk terpaksa menanam ahli keluarga perempuan yang meninggal dunia berhampiran rumah. Seorang mangsa yang kehilangan mayat ahli keluarga perem­puan, Guo Qiwen memberitahu, dia masih mencari mayat ibunya yang dicuri beberapa minggu lalu.

 “Saya telah membelanjakan sebanyak 50,000 yuan (RM31,547) untuk mencari mayat ibu. Saya berasa sedih dengan kehilangan mayat ibu saya,” katanya. Kepercayaan ‘mengahwinkan’ mayat lelaki bujang dengan mayat wanita merupakan tradisi yang diamalkan masyarakat China sejak zaman pertengahan sehinggalah aktiviti itu diharamkan semasa pemerintahan pemimpin komunis China, Mao Zedong pada 1949. Namun, oleh kerana makin ramai penduduk yang menjadi kaya, amalan mencuri mayat wanita muncul semula di kawasan pedalaman di wilayah Shanxi dan Henan.

Mengikut undang-undang China, individu yang mencuri mayat boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun dengan kes terbaharu melibatkan penahanan tiga lelaki yang cuba menjual satu mayat wanita pada harga 145,382 yuan (RM145,382). - sumber

No comments: