Saturday, March 5, 2016

Sumpah Pocong di INDONESIA

Gambaran menunjukkan bagaimana upacara sumpah pocong dilangsungkan

SITUBONDO, JAWA TIMUR - Gara-gara dituduh mengamalkan ilmu hitam, sepasang suami isteri di sini memilih untuk menjalani upacara ‘sumpah pocong’ iaitu sumpahan yang dilakukan dalam keadaan seperti mayat yang dibaluti kain kafan dan membuat pengakuan menafikan terbabit dengan perbuatan itu. Sarrip, 55, dan isterinya, Suryati, 50, terpaksa melakukan upacara itu selepas dituduh oleh jirannya menjadi penyebab kepada anak dan cucu mereka menderita, walaupun firasat itu diperoleh menerusi mimpi. “Kami tidak dapat terima dituduh memiliki ilmu santet (ilmu hitam). Tuduhan itu telah mencemarkan nama baik kami. “Apatah lagi dia (yang menuduh) mengancam saya kalau anak dan cucunya tidak sembuh. Maka kami sedia melakukan upacara sumpah pocong. Ini kerana kami benar-benar bukan dukun santet,” kata Sarrip sebelum menjalani upacara berkenaan.

Menurut laporan detik.com, pelaksanaan sumpah pocong itu adalah atas permintaan jirannya yang didakwa mengalami mimpi yang menunjukkan pasangan suami isteri itu terbabit dalam aktiviti ilmu hitam. Disebabkan itu, jiran terbabit yakin sakit yang dideritai anak dan cucunya adalah akibat daripada tindakan pasangan suami isteri berkenaan. Upacara sumpah pocong itu dilakukan di Masjid Baitur Rahman di Desa Palangan, Daerah Jangkar. Sepanjang upacara tersebut, jasad Sarrip dan Suryati dibungkus dengan kain kafan seperti orang yang sudah meninggal dunia. Habib Ali Mustafa yang memimpin pembacaan sumpah itu berkata: “Sumpah pocong ini berdasarkan kemahuan masyarakat sendiri. Jadi diyakini, siapa yang berbohong maka sumpah ini akan kembali kepada dirinya sendiri,” katanya. Pelaksanaan upacara itu menarik perhatian orang ramai, khususnya penduduk setempat dan kawalan keselamatan terpaksa diperketatkan di pekarangan masjid tersebut bagi mengelakkan kekecohan.

Selain penduduk setempat, upacara itu turut dihadiri Ketua Polis Kepala Desa Palangan, Iptu Pramana serta beberapa tokoh masyarakat yang lain. “Kami berharap setelah sumpah pocong ini dilakukan, tidak ada lagi tuduhan yang menyatakan kami adalah dukun santet. Ini kerana masalah ilmu hitam itu tidak boleh dihakimi secara hukum. “Yang boleh menghakimi hanya Tuhan kerana untuk kepercayaan kepada masyarakat, tertuduh sudah melakukan sumpah tersebut,” tegas Iptu Pramana. SUMBER

No comments: