Malah menurut laporan Mail Online, telefon yang dikenali sebagai LONG-CZ itu hanya diperbuat daripada plastik, sekali gus membolehkannya diseludup masuk ke penjara kerana gagal dikesan oleh mesin pengimbas.

Telefon bimbit LONG-CZ hanya mempunyai berat 18 gram dengan ukuran panjang 68 milimeter (mm) dan lebar 23 mm, saiz yang terlalu kecil sekali gus menggantikan te­lefon bimbit yang dikenali sebagai ‘key fob’ yang menjadi kegemaran banduan sebelum ini.

Selain itu, LONG-CZ boleh dibeli dengan mudah di laman beli-belah maya dan kedai terpakai pada harga serendah 25 pound (RM142) sahaja.

LONG-CZ ketika ini dipasarkan sebagai telefon bimbit paling kecil di dunia dan diiklankan secara dalam talian sebagai gajet yang mampu ‘mengalahkan’ sistem Pengimbas Keselamatan Bukaan Badan (BOSS) yang dipasang di penjara-penjara Ireland.

Menurut sumber, telefon itu mudah diseludup masuk ke penjara te­rutamanya pada hari banduan dibenarkan bertemu keluarga dengan cara memasukkannya ke dalam dubur, sementara kad SIM akan ditelan.

Pihak berkuasa penjara berjaya me­rampas sejumlah besar telefon bimbit seludup iaitu sebanyak 805 unit pada 2013, manakala 728 lagi pada 2014.

Telefon bimbit biasanya digunakan banduan untuk berhubung dengan dunia luar bagi meneruskan kegiatan jenayah mereka.