Sunday, April 17, 2016

Jawapan2 Tentang Zakir Naik

Dalam lebih kurang seminggu ini, bertubi-tubi datang persoalan seputar Dr. Zakir Naik sama ada secara berhadapan muka mahupun secara bertulis melalui media-media. Sebenarnya saya kurang berminat untuk memberi apa-apa tanggapan kerana sedang sibuk dengan urusan lain yang penting. Sebab itulah saya tidak menulis apa-apa pun dalam tempoh tersebut. Tetapi apabila sampai begitu banyak pertanyaan, sampaikan orang-orang yang dekat dengan kita dan anak-anak murid kita pun tertanya-tanya, mahu tak mahu nampaknya nak kena bersepatah dua kata jugalah. Harap-harapnya sekali jawab sudahlah, sekadar untuk memenuhi hajat orang, walaupun tidaklah sampai ke tahap memuaskan hati.

Pelbagai pertanyaan itu yang kebanyakannya lebih kurang sahaja isinya, saya satukan menjadi beberapa persoalan sahaja sebagaimana di bawah nanti. Saya berusaha memberi penjelasan seadil mungkin. Orang-orang yang sudah biasa dengan saya rasanya sudah boleh faham cara saya, bahawa saya jenis yang lewat/ lambat/ susah untuk menjatuhkan hukuman yang berat-berat ke atas sesama orang orang yang bersyahadah seperti kafir (yang membawa hukum terkeluar daripada Islam), murtad, ahli bid’ah (yang sesat ke neraka), bukan Islam, terbatal syahadah, syirik, sesat, pengengkar sunnah, penyembah kubur, terkeluar daripada Islam, atau sebagainya yang seangkatan. Saya berusaha mendahulukan sangka baik selagi boleh.

Antara persoalan yang diajukan :

Bukankah Dr. Zakir Naik seorang yang hafaz Quran? Sefaham saya dia bukan seorang hafiz Quran, tetapi dia memang ada menghafal ayat-ayat dan surah-surah tertentu. Wallahua’lam.

Bukankah dia berjaya mengIslamkan ribuan orang bukan Islam? Sefaham saya dia tidaklah sampai mengIslamkan ribuan orang, tetapi memang dia ada mengIslamkan beberapa orang bukan Islam. Alhamdulillah, syukur. Tahniah kita ucapkan. Wallahua’lam.

Bukankah dia ada menghafal kitab-kitab agama lain? Sefaham saya dia hanya menghafal ayat-ayat tertentu sahaja yang berkaitan dengan isi maklumat yang hendak disampaikannya kepada orang lain. Dia tidak menghafal mana-mana kitab agama lain. Kitab-kitab utama seperti Bible (walaupun sekadar Old Testament atau New Testament atau lebih kecil seperti Torah atau 4 Gospel), Veda, Tripitaka, Baghavad Gita, Avesta dan seumpamanya sudah tentu tidak dihafalnya kerana sedemikian tebalnya. Kalau kitab-kitab kecil lain yang sekadar beberapa mukasurat tak tahulah. Kitab-kitab agama dari Timur seperti Tao Te Ching, Wu Jing, La Goligo, Kojiki dan lain-lain rasanya dia banyak tidak tahu isi kandungannya. Wallahua’alam.

Bukankah dia seorang tokoh perbandingan agama? Untuk mengangkat seseorang itu sebagai tokoh dalam bidang tertentu, umumnya manusia punya penilaian yang berbeza-beza. Ada orang mengakui ketokohan seseorang berdasarkan kelulusan atau dokumen, ada yang berdasarkan jumlah pengikut, ada yang berdasarkan kemasyhuran (populariti), ada yang berasaskan pengiktirafan yang diterimanya, ada yang berdasarkan kebolehan berbahasa tertentu, ada yang berdasarkan minat dan kecenderungan, ada yang berdasarkan penampilan, ada yang berdasarkan ketaksuban, ada yang berdasarkan jasa, dan sebagainya. Dalam bidang perbandingan agama ini, saya lebih melihat dari sudut pengetahuan, pemahaman dan pengalaman seseorang itu. Jadi secara peribadi, tidaklah salah jika Zakir Naik hendak diangkat sebagai salah seorang tokoh dalam ilmu perbandingan agama kerana dia memang ada pengetahuan, pemahaman dan pengalaman yang sewajarnya (walaupun mungkin tidak setinggi yang sepatutnya) dalam juzuk ilmu perbandingan agama ini, khususnya yang berkaitan dengan agama Islam, Kristian dan Hindu. Kalau bukan tokoh elit pun, sebagai tokoh biasa dalam dunia ilmu perbandingan agama ini, saya kira dia memang layak. Wallahua’lam.

Sungguhpun begitu, mestilah diingat, dalam bidang ilmu-ilmu dalam agama Islam sendiri, Zakir Naik bukanlah tokoh. Umumnya, pandangan atau pegangannya dalam ilmu perbandingan agama bolehlah kita pakai tetapi pandangan dan pegangannya dalam ilmu-ilmu khusus agama Islam, kita mesti sangat berhati-hati kerana dia bukan orangnya. Kita ambil manfaat daripada seseorang itu berdasarkan bidang yang dimahirinya sahaja.

Dalam kes Zakir Naik, ambillah manfaat daripada ilmunya dalam perbandingan agama tetapi jangan ambil risiko untuk mudah-mudah terima pakai pandangan dan pegangannya dalam ilmu-ilmu khusus agama Islam itu sendiri. Contoh umum - dalam masalah komputer jet pejuang bertanyalah kepada tukang jet pejuang dan masalah saraf gigi bertanyalah kepada doktor gigi. Jangan minta rawatan masalah komputer jet pejuang kepada doktor gigi. Tak mustahil akan rosak habis jet pejuang jika kita berbuat demikian.

Bukankah dia berfahaman Wahabi? Untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu berfahaman Salafi Wahhabi (Wahabi) atau tidak, mestilah dengan mengenal pasti ciri-ciri Wahabi yang ada pada seseorang itu. Jika ada banyak ciri-ciri Wahabi, maka Wahabilah dia sekalipun dia bermati-matian menafikan yang dirinya Wahabi. Jika ada sedikit sangat ciri-ciri Wahabi, maka dia bukanlah berfahaman Wahabi sekalipun dia bermati-matian mengaku dirinya Wahabi. Jika hanya ada beberapa ciri Wahabi pada pemikiran dan pengamalan seseorang itu, tidak banyak, maka kita tidak pasti sama ada benar dia berfahaman Wahabi atau tidak. Namun sebagai menjaga adab-adab dalam tasawuf, kita dahulukanlah sangka baik buat sementara waktu bahawa orang itu bukan/belum berfahaman Salafi Wahhabi, sehinggalah sampai maklumat-maklumat tambahan terkini yang boleh dijadikan sandaran untuk mengenal pasti sama ada dia berfahaman Salafi Wahhabi atau tidak. Paling kuat pun, bolehlah kita katakan dia sebagai cenderung kepada fahaman Salafi Wahhabi, tidak lebih. Mempunyai beberapa pandangan tertentu yang sama dengan pandangan-pandangan kaum Wahabi, hal itu tidaklah terus pasti menjadikan seseorang itu berfahahaman Wahabi. Boleh jadi juga orang itu bukan berfahaman Wahhabi tetapi berfahaman yang lain yang mungkin agak baik berbanding fahaman Wahhabi dan mungkin tidak mustahil juga lebih teruk daripada fahaman Wahhabi. Dalam kes Zakir Naik ini, berdasarkan pengetahuan saya tentang pemikiran dan pengamalannya (yang saya tidak tahu, hal itu adalah di luar daripada kemampuan saya untuk menilai), maka saya memandang dia memang sangat cenderung kepada fahaman Salafi Wahhabi sama ada dia menyedarinya ataupun tidak. Wallahua’lam.

Bukankah fahamannya sama dengan Syeikh Ahmad Deedat? Setahu saya Syeikh Ahmad Deedat tidak berfahaman Salafi Wahhabi (Wahabi).

Bukankah dia sering juga melakukan kesalahan maklumat dalam berhujah tentang agama-agama? Tidak kita nafikan. Apabila berbicara tentang Syeikh Ahmad Deedat, hujah-hujah beliau dulu sukar (walaupun ada juga) untuk dikesan kesalahan dan kelemahannya berbanding kesalahan dan kelemahan Dr. Zakir Naik dalam ucapan-ucapannya. Kadang-kadang, menyusahkan kita balik untuk mempertahankan hujah-hujah Zakir Naik daripada kritikan balas orang-orang bukan Islam. Namun kita mesti memahami, bahawa sangat banyak hal-hal yang benar yang diutarakannya berbanding segelitir kesalahan dan kelemahan dalam hujah-hujahnya. Wallahua’alam. Oleh itu, secara peribadi (setakat ini), sekiranya diberi kuasa untuk memilih pendebat/ pendiskusi/ pendialog bagi pihak agama Islam untuk berhadapan dengan pendebat/ pendiskusi/ pendialog agama lain (termasuklah yang tidak beragama), saya seboleh-bolehnya tidak akan memilih Zakir Naik, kecualilah kalau terpaksa atau sudah darurat yang memerlukan juga seorang pendebat ketika itu.

Bukankah dia anak murid kepada Syeikh Ahmad Deedat? Sefaham saya dia bukanlah anak murid Syeikh Ahmad Deedat. Mereka pernah bertemu tetapi rasanya bukanlah khusus sebagai murid yang khusus mengambil ilmu daripada seorang guru. Seandainyalah ada proses majlis guru-pelajar pun antara mereka, mungkin dalam konteks ilmu perbandingan agama sahaja, bukannya dalam ilmu-ilmu khusus agama Islam yang lain. Wallahua’lam.

Bukankah dia boleh bahasa Inggeris, Tamil, Urdu, Sanskrit, Arab, Latin, Ibrani......? Saya cuma tahu dia boleh berbahasa Inggeris dan salah satu bahasa India (Tamilkah, apakah, saya tidak tahu). Sefaham saya, dia tidak boleh berbahasa Arab, Sanskrit dan Ibrani. Bahasa-bahasa lain, saya tidak tahu kisahnya. Wallahua’lam.

Bukankah dia berjaya mengIslamkan ramai orang bukan Islam? Hal ini menunjukkan dia benar dan kita mesti menyokongnya. Ramai juga rasul-rasul yang hanya berjaya mengIslamkan beberapa orang sahaja walaupun mereka berdakwah puluhan atau ratusan tahun. Adakah ini membuktikan mereka tidak benar? Ada juga ulama dan pendakwah yang tidak berjaya mengIslamkan walau satu orang manusia bukan Islam pun sepanjang umur mereka. Adakah mereka termasuk golongan yang tidak benar?

Christiaan Snouk Hurgronje (berpura-pura masuk Islam sehingga diangkat oleh masyarakat Acheh sebagai ulama besar) juga dikatakan pernah mengIslamkan orang-orang bukan Islam. Adakah itu bukti dia benar? Jumlah orang bukan Islam menganut agama Islam kerana kita, itu bukan hujah atau bukti untuk menunjukkan seseorang itu mesti benar. Yang salah padanya mesti ada. Dan kita menolak hanya apa yang salah dan apa yang melemahkan agama dan umat Islam sahaja daripada seseorang itu. Apa yang benar daripadanya, tidak pernah kita tolak, malah sokong 100%.

Sesuaikah majlis-majlis Zakir Naik di negara kita ini? Pada saya, selagi isi yang mahu disampaikannya bukan perkara-perkara yang salah atau perkara-perkara yang boleh melemahakan agama dan umat Islam, tentu sahaja boleh.

Bagaimana dengan bantahan oleh sebahagian orang-orang bukan Islam? Kita selidik terlebih dahulu tentang apa yang mereka bantah untuk diambil tindakan yang sewajarnya. Tetapi jika yang mereka bantah itu ialah ilmu perbandingan agama, hal itu tidak boleh diterima kerana ilmu perbandingan agama adalah salah satu daripada juzuk ilmu dalam agama Islam juga.

Mengapa (pihak-pihak tertentulah maksudnya) nampaknya bermati-matian, seakan-akan taksub, hendak meneruskan majlis-majlis Dr Zakir Naik di negara ini? Sebenarnya saya pun kurang faham akan segelintir golongan yang dimaksudkan itu. Apakah jika kita menangguhkan atau membatalkan majlis-majlis itu maka aqidah kita orang Islam akan rosak? Adakah orang-orang Islam akan bertukar ke agama lain? Adakah agama lain akan mengambil alih negara ini? Adakah agama Islam menjadi tidak lengkap? Apakah Rukun Islam dan Rukun Imam kita tidak sempurna? Apakah jika idak melihat Zakir Naik secara ‘live’ maka akan hilang keberkatan atau berkurang pahala? Pastinya tidak berlaku hal itu semua. Pada saya, jika keadaan semakin gawat, lebih baiklah kita tanguhkan dahulu buat sementara. Ada jodoh, insya-Allah bertemu lagi. Kita sama-sama berusaha untuk tidak taksub untuk menerima, dan tidak juga juga taksub untuk menolak. Yang benar kita terima, yang salah dan yang boleh melemahkan agama dan umat Islam, kita tolak. Jangan kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang sampaikan kita ternafi apa yang benar daripada dia. Dan jangan juga kerana kita menyukai seseorang sampaikan kita tak menafikan pula apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada dia.

Akhirnya, dengan penjelasan ringkas ini diharap dapatlah diredakan sedikit pihak-pihak yang bertanya. Kita tumpukan balik pada hal ehwal pembinaan diri dan peningkatan hubungan dengan Allah SWT. Jangan disebabkan isu Zakir Naik ini maka terganggu pula urusan-urusan kita yang jauh lebih penting. Ada atau tidak Zakir Naik, jadi atau tidak Zakir Naik, usahakan agar urusan-urusan keagamaan kita terus lancar. Mohon maaf jika ada salah silap dan kekurangan. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar 12 April 2016

sumber

No comments: