Sunday, April 17, 2016

Microsoft Saman AS

SAN FRANCISCO 15 April – Syarikat perisian terbesar dunia, Microsoft Corp. (Microsoft) mengemukakan saman terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung hak untuk memaklumkan kepada pelanggan, sekiranya emel atau lain-lain dokumen mereka ‘dipantau’ oleh agensi persekutuan di negara ini. Saman tersebut difailkan plaintif pada Rabu lalu di Mahkamah Persekutuan di barat Washington. Microsoft dalam samannya berhujah bahawa kerajaan, selaku defendan melanggar Perlembagaan AS apabila melarang Microsoft daripada memaklumkan kepada pe­langgannya tentang perkara itu.

Perlembagaan AS antara lain menyebut berkenaan hak orang ramai untuk dimaklumkan jika kerajaan bertindak mencari atau merampas hak mereka. Tuntutan Microsoft itu, bagai­manapun lebih terarah kepada penyimpanan data dalam pusat kawalan. “Orang ramai tidak akan berputus asa untuk mendapatkan hak mereka apabila mereka memin­dahkan maklumat peribadi daripada penyimpanan yang boleh dilihat kepada sebaliknya,” kata Microsoft dalam satu salinan tuntutan saman itu. Tambah Microsoft, kerajaan juga telah mengeksploitasi proses pemindahan data itu dalam menjalankan penyiasatan rahsia mereka.

Tuntutan mahkamah berkenaan merupakan pertikaian terbaharu antara syarikat teknologi maklumat itu dengan kerajaan AS, bagi melihat sejauh mana ‘perniagaan peribadi’ memerlukan pengawasan daripada pihak kerajaan. Dengan memfailkan tuntutan tersebut, Microsoft dilihat memainkan peranan lebih penting dalam pertikaian itu. Dalam tuntutannya Microsoft berkata, sejak 18 bulan lalu, pihak­nya telah menerima 5,624 perintah undang-undang di bawah Akta Persendirian Komunikasi Elek­tronik (ECPA) yang mana 2,576 daripadanya menghalang syarikat itu daripada mendedahkan bahawa kerajaan mendapatkan data pelanggan menerusi waran atau sepina. –REUTERS  sumber

No comments: