Saturday, April 30, 2016

Tiang Masjid Keluarkan Air

ACEH SELATAN - Masjid Nurul Huda atau lebih dikenali sebagai Masjid Tuo Pulo Kambing yang berusia 900 tahun di Kampung Pulo Kambing, daerah Kluet Utara, Aceh mempunyai sebuah tiang unik yang kerap mengeluarkan air. Menurut penjaga masjid tersebut, Umar Syah, masjid berkenaan mempunyai empat tiang dengan ukiran kaligrafi di setiap tiangnya, namun salah satu tiang itu mengeluarkan air yang dianggap membawa keberkatan.

 “Penduduk kampung telah membuat kolam di keliling tiang (berkenaan) bagi menakung air tersebut. Malah ramai yakin air itu mempunyai berkat tersendiri sehingga ramai penduduk Aceh termasuk dari luar Aceh berkunjung ke masjid itu untuk mendapatkan air berkenaan bagi dijadikan ubat,” katanya.

Walaupun, usianya telah melangkaui sembilan abad, Masjid Tuo Pulo Kambing masih kukuh dan digunakan untuk beribadat, malah semasa kejadian gempa bumi dan tsunami pada 2004, masjid tersebut dijadikan tempat berlindung. Masjid setinggi tiga tingkat itu diperbuat daripada kayu yang diambil dari dalam hutan dan pembinaan awalnya tanpa menggunakan sebarang paku.

Kata Umar, masjid itu dibina oleh ulama Parsi, Syeh Muhammad Husen Al Fanjuri Muhammad Al Fajri Kautsar pada 8 Ogos 1351 Masehi dan telah beberapa kali diubah suai tanpa mengubah bentuk asalnya. Di sekitar masjid itu, terdapat sebuah rumah kerajaan yang digunakan semasa pemerintahan kerajaan Aceh Darussalam tetapi masih tetap kukuh. Kedua-dua bangunan itu merupakan sebahagian daripada sejarah Islam di Aceh yang perlu dipelihara. – AGENSI sumber

No comments: