Sunday, April 17, 2016

Zakir Naik Terima Cabaran Debat Ramasamy Asalkan...

KUALA LUMPUR 14 April - Pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik bersedia menerima cabaran debat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof. P. Ramasamy yang melabelkan beliau sebagai syaitan, sekiranya wakil rakyat DAP itu berjaya mengumpulkan minimum 20,000 penonton pada program ceramahnya sendiri.

Pengarah Program Syarahan Umum Dr. Zakir Naik 2016, Abu Shariz Sarajun Hoda berkata, bukan mahu mendabik dada tetapi beliau tidak mahu Zakir ‘disalahgunakan’ untuk tujuan populariti individu tertentu seperti Ramasamy yang sebelum ini melabelkan pendakwah itu sebagai syaitan. Katanya, sekurang-kurangnya Ramasamy perlu berada pada tahap hampir sama dengan protege-protege Zakir di negara ini, sebelum mengemukakan cabaran kepada Zakir sendiri.

“Bukan saya mahu kata beliau (Ramasamy) tidak popular, semoga beliau berjaya. Tetapi kami tidak mahu pihak berdebat dengan Dr. Zakir untuk menjadi popular, Ramasamy bertanyakan soalan kepada Dr. Zakir pun boleh jadi terkenal, berdebat sudah tentu lebih terkenal. “Kalau Ramasamy mahu berdebat dengan Dr. Zakir sekurang-kurangnya perlu capai tahap protege-protege beliau terlebih dahulu. Kalau mahu debat, ada enam protege Dr. Zakir di Malaysia, mungkin beliau boleh cabar dulu, kalau ada perkara yang boleh diutara dan dipertahankan, baru boleh fikir mahu debat dengan cikgu kami,” katanya ketika ditemui selepas berkunjung ke Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ramasamy sebelum ini menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana kerana melabelkan Zakir sebagai syaitan melalui laman sosial Facebook milik beliau. Berikutan itu, Ramasamy telah dijemput oleh penganjur untuk hadir ke program ceramah Zakir di ibu negara secara percuma, tetapi beliau bukan sahaja menolak tawaran itu, malah mencabar Zakir untuk berdebat. Dalam pada itu, mengulas me­ngenai program ceramah Zakir yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini, Abu Shariz menasihatkan penonton yang hadir supaya berfikiran terbuka dengan niat mahu mempelajari sesuatu daripada syarahan pendakwah itu.

Katanya, penonton dalam kala­ngan bukan Islam juga dijemput dan pihaknya akan memberi keutamaan kepada mereka supaya ditempatkan tidak jauh dari pentas ceramah. “Ini merupakan ceramah ilmiah yang berdasarkan kepada al-Quran, sunnah, sains moden, rasional, logik dan sebagainya yang merangkumi aspek-aspek masyarakat moden pada hari ini. Jadi dinasihatkan datang de­ngan fikiran terbuka dan jangan takut.

 “Selain itu, sebagaimana cera­mah serta syarahan Dr. Zakir di seluruh dunia, keutamaan diberikan kepada bukan Islam untuk berta­nyakan soalan supaya mereka mendapat penjelasan, pengesahan terhadap sebarang syak wasangka dan keraguan yang ada dalam fikiran,” katanya.  sumber

No comments: