Tuesday, May 31, 2016

Berkayak Solo Redah Atlantik pada Usia 69

NEW YORK 30 Mei - Seorang lelaki berusia 69 tahun tidak menjadikan faktor usia sebagai penghalang untuk mencipta nama dalam dunia sukan kayak apabila melakukan pelayaran secara solo merentasi Lautan Atlantik buat kali ketiga, semalam.

 Lelaki tersebut yang juga warga Poland, Aleksander Doba memulakan pelayaran dari New York ke Portugal, membabitkan jarak 6,000 kilometer selain berdepan ‘zon ribut’ di kawasan Atlantik Utara.

“Cabaran kali ini nyata le­bih sukar berbanding dua pelayaran terdahulu kerana air laut yang sejuk dan saya perlu meredah arus yang lebih kuat. “Saya berharap dapat tiba di Portugal pada September ini, sekali gus menyambut hari lahir yang ke-70 pada 9 September,” katanya.

Doba sebelum ini pernah melengkapkan cabaran tersebut pada Oktober 2010 sehingga Februari 2011 menggunakan laluan dari Dakar, Senegal ke bandar Acarau di Brazil. Pada Oktober 2013, Doba sekali lagi meredah Lautan Atlantik iaitu dari Lisbon dan tiba di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada April tahun berikutnya. Dua kejayaan awal tersebut membolehkan Doba dipilih sebagai pengembara terbaik 2015 oleh majalah National Geographic, sekali gus membakar semangatnya untuk mencatat satu lagi rekod pelayaran secara solo menggunakan kayak.

 Untuk cabaran kali ini, Doba mengayuh kayak rekaan sendiri yang dinamakan Olo berukuran lebih enam meter. Mengikut perancangan, Do­­ba akan mengayuh antara lapan dan 12 jam sehari, tugas yang dianggap sukar dilakukan pada usia hampir 70 tahun itu. “Semuanya nampak baik dan saya tidak rasa tua. Apabila ditanya tentang bahaya cabaran ini, saya membalas kematian boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk ketika sedang tidur,” ujarnya. – AFP - SUMBER

No comments: