Tuesday, May 3, 2016

SYRIA - Ulama Syiah Halalkan Pembunuhan Orang Awam Aleppo

DAMSYIK 2 Mei - Seorang ulama pro-Syiah yang berpihak kepada tentera Syria mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan fatwa yang membenarkan penghapusan penduduk awam di bandar Aleppo, ketika tentera kerajaan melancarkan serangan habis-habisan untuk menawan semula bandar itu daripada kumpulan penentang.

 Menurut portal Mail Online, fatwa itu dikeluarkan oleh ulama terkemuka Syria, Ahmad Badr al-Hassoun yang dilihat sebagai usaha untuk ‘menghalalkan’ keganasan yang dilakukan oleh tentera Syria di Aleppo sejak 10 hari lalu.

“Saya meminta tentera Syria dan pemimpin negara ini mempamerkan kekuatan bagi menghapuskan penjenayah terlibat,” kata Ahmad Badr. Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada penduduk awam yang tinggal di kawasan timur bandar Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan Syria.

 Sejak hampir 10 hari lalu, tentera negara ini telah melancarkan lebih 260 serangan udara, 18 peluru berpandu, 110 bedilan meriam dan menggugurkan 68 butir bom di Aleppo, menyebabkan lebih 250 terbunuh terma­suk 40 kanak-kanak. Usaha untuk menghentikan serangan berdarah itu juga buntu apabila sekutu rapat Syria, Rusia menerusi Timbalan Menteri Luarnya, Gennady Gatilov menolak gesaan antarabangsa bagi menamatkan serangan di Aleppo.

“Moscow tidak akan menekan Bashar kerana situasi di Aleppo merupakan sebahagian daripada usaha memerangi pengganas,” katanya.

Sementara itu, beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa memberi amaran terhadap situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Aleppo disebabkan tiada misi kemanusiaan dijalankan di bandar tersebut, selain tindakan tentera Syria yang se­ngaja menyerang kumpulan yang menghantar bantuan. – AGENSI SUMBER

No comments: