Tuesday, May 31, 2016

Tentera IRAQ Gempur Fallujah

BAGHDAD 30 Mei - Nasib kira-kira 50,000 penduduk Fallujah yang dikuasai militan IS kini bergantung kepada tentera Iraq apabila operasi ketenteraan secara besar-besaran dilancarkan awal hari ini untuk merampas semula bandar itu selepas hampir dua tahun ditawan oleh kumpulan pengganas tersebut. Menurut komander operasi itu, Leftenan Jeneral Abdelwahab al-Saadi, serangan dilancarkan dari tiga arah berbeza diketuai pasukan elit antikeganasan (CTS) yang disokong serangan udara daripada pakatan antarabangsa, serangan artileri dan unit kereta kebal.

 “Serangan fasa ketiga untuk menawan semula bandar Fallujah bermula kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan. “Kami mendapat tentangan sengit daripada kira-kira 1,000 militan IS yang menguasai bandar tersebut,” katanya. Bagaimanapun tiada laporan kematian atau kecederaan setakat ini. Tentera Iraq memulakan operasi sejak seminggu lalu dengan merampas semula kampung dan kawasan terpencil di sekitar Fallujah, satu daripada dua bandar utama yang masih dikuasai militan IS. Kumpulan pelampau itu turut menawan bandar Mosul yang turut digempur oleh pasukan pejuang Kurdis sejak semalam. Ada antara penduduk berjaya menyelamatkan diri daripada cengkaman militan IS ketika operasi tersebut dilancarkan dan kira-kira 50,000 penduduk awam masih terperangkap di bandar berkenaan, sekali gus mengundang kebimbangan kumpulan pelampau menjadikan mereka sebagai perisai manusia.

Sementara itu di Baghdad, lebih 20 orang awam terbunuh dalam siri serangan bom di utara dan timur laut ibu negara Iraq, dipercayai didalangi oleh militan IS. Serangan pertama berlaku di sebuah pasar di timur laut Baghdad apabila sebuah bom kereta dile­tupkan, menyebabkan 12 terbunuh dan 20 mangsa lagi cedera. Satu lagi serangan bom kereta meragut lapan nyawa di kawasan penempatan di utara bandar sama selain menyebabkan 21 mang­sa cedera, manakala serangan ketiga melibatkan bom motosikal di kawasan Sadr City, membunuh seorang penduduk awam. – AFP  sumber

No comments: